Jumaat, 17 Disember 2021 | 8:11pm
Ketua Pegawai Eksekutif Wealthpier, Muhammad Azim Ishuddin berkata syarikat mengunjurkan untuk disenarai di Bursa Malaysia pada 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Wealthpier, Muhammad Azim Ishuddin berkata syarikat mengunjurkan untuk disenarai di Bursa Malaysia pada 2025.

Platform PKS bina rangkaian, bertemu pelabur

KUALA LUMPUR: Wealthpier Berhad, syarikat Perunding Perniagaan dan Pegangan Pelaburan menyasarkan menjadi syarikat pertama dalam industri 'Meeting Incentive Conference Exibition (MICE)' di Malaysia yang akan diapungkan di Bursa Malaysia pada tahun 2025.

Syarikat itu yang ditubuhkan pada Mac 2020, mempunyai beberapa anak syarikat yang terbabit dalam sektor pengurusan majlis, pengurusan lokasi, pengurusan bisnes serta runcit dan perdagangan.

Selaras strategi syarikat, Wealthpier semalam menganjurkan Business Network Roadshow (BNR) yang bertujuan menghubungkan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan pelabur dalam satu majlis makan malam.

Uniknya, majlis makan malam korporat itu memberi peluang kepada tetamu memilih jumlah meja, peluang berkongsi pencapaian syarikat dan melancarkan produk di pentas.

Ketua Pegawai Eksekutif Wealthpier, Muhammad Azim Ishuddin, berkata majlis itu bermatlamat membina rantaian perniagaan dalam kalangan syarikat yang hadir dengan pelabur undangan.

"Program BNR kali ini memilih usahawan PKS sebagai langkah membudayakan pengurusan syarikat ke arah lebih profesional, bergaya korporat dan mampu berdaya saing di mata dunia.

"Berbeza dengan syarikat korporat, kakitangan di PKS jarang diraikan dengan majlis penghargaan dan sambutan majlis makan malam bertema di lokasi berprestij. Kami membuka peluang itu malah dalam satu dewan yang sama, mereka bukan sahaja mengharmonikan hubungan sesama pekerja tetapi berkenalan dengan kakitangan daripada syarikat lain.

"Lebih daripada itu, ia mengalakkan majikan menghargai pasukan dan pekerja mereka melalui majlis makan malam korporat yang memberi mereka pendedahan pencapaian syarikat yang hadir," katanya.

Sebelum ini Wealthpier telah mengadakan BNR di beberapa lokasi namun ditangguhkan akibat Pandemik COVID-19. Bagaimanapun syarikat yang telah mendaftar terus diberi bimbingan secara dalam talian.

"Wealthpier adalah platform kepada para usahawan berkongsi idea dan padanan perniagaan yang baharu. Misalnya tiga syarikat PKS, Myt Edutech Berhad, Siam Oasis dan Womentum yang berkongsi idea dan model bisnes malam ini (semalam), mereka membuka peluang kepada pelabur yang berminat untuk membeli saham syarikat masing-masing.

"Pada BNR yang lalu, Wealthpier berjaya memadan kerjasama antara pemilik syarikat dengan pelabur yang bernilai keseluruhan RM3 juta. Pada majlis makan malam ini, kami menyasarkan jumlah pelaburan bernilai RM700,000 dapat dicapai.

"Wealthpier akan memastikan syarikat yang menyertai BNR lebih fokus kepada pemasaran berimej korporat dan perancangan jangka masa panjang. Misalnya syarikat Myt Edutech Berhad, sebuah syarikat pengurusan tuisyen swasta berjaya mengumpul dana suntikan modal sebanyak RM1 juta dalam masa dua bulan melalui strategi yang kami perkenalkan," katanya.

"Perancangan akan datang, BNR akan diadakan di lokasi dan tema berbeza, misalnya malam ini bertemakan Gatsby manakala majlis BNR pada Mei tahun 2022 memilih tema budaya Malaysia.

"Pada tahun hadapan juga, Wealthpier merancang menganjurkan lebih banyak lagi majlis dengan jangkaan setiap bulan. Antaranya majlis Karnival Wanita, Festival Makanan, Karnival Kecergasan, Majlis Perlancaran produk dan lain-lain," katanya.

Berita Harian X