Khamis, 16 Disember 2021 | 1:37pm
Pemulihan permintaan dan bekalan terhad daripada OPEC mendorong pemulihan industri minyak dan gas global - Foto hiasan
Pemulihan permintaan dan bekalan terhad daripada OPEC mendorong pemulihan industri minyak dan gas global - Foto hiasan

Industri minyak dan gas semakin pulih

KUALA LUMPUR: 2021 adalah tahun yang penuh dengan peristiwa bagi industri minyak dan gas, di dalam negeri dan juga luar negara dengan lantunan semula kukuh yang didorong oleh pemulihan permintaan serta bekalan terhad daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Harga minyak mencecah paras tertingginya dalam tempoh enam tahun pada 5 Julai 2021, apabila OPEC, Rusia dan sekutu mereka sekali lagi gagal mencapai sebarang perjanjian bagi peningkatan pengeluaran.

Harga penanda aras tenaga global, minyak mentah Brent mencecah paras tertingginya sejak lewat 2018 pada AS$77.04 setong sebelum menyusut semula sebanyak 3.4 peratus kepada AS$74.53 setong.

Pada 5 Oktober 2021, harga minyak melonjak sekali lagi dengan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertingginya sejak 2014 manakala niaga hadapan Brent meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun selepas OPEC+ kumpulan pengeluar kekal dengan peningkatan output yang telah dirancang mereka dan bukan sebaliknya menaikkannya lagi.

Minyak West Texas Intermediate meningkat hampir AS$1.31, atau 1.7 peratus kepada AS$78.93 setong, manakala Brent mencecah paras tertingginya dalam tempoh tiga tahun pada AS$83.13.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, OPEC+ mengumumkan bahawa ia menjangkakan pasaran minyak global merekodkan lebihan lebih buruk daripada dijangkakan pada suku pertama 2022 yang mungkin boleh memberikan lagi alasan kepada kartel itu untuk mengurangkan lagi pengeluaran, jikapun tidak mengekalkannya pada paras seperti yang dirancang.

Jangkaan lebihan tahun depan berjumlah hingga dua juta tong sehari (bpd) pada Januari, 3.4 juta bpd pada Februari dan 3.8 juta bpd pada Mac.

Bagaimanapun, kumpulan itu juga menyatakan keupayaannya untuk menyemak semula output pengeluarannya sekiranya berlaku penurunan permintaan disebabkan oleh kemunculan varian baharu COVID-19, Omicron, dan kemungkinan sekatan pergerakan dilaksanakan semula dalam tempoh terdekat.

Namun, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan huluan yang kebiasaannya bergerak seiring dengan harga minyak kekal di bawah paras sebelum pandemik.

Terusan Suez berdepan krisis apabila laluannya tersekat selama enam hari pada 23 Mac lalu selepas kapal kontena dengan keupayaan mengangkut 20,000 TEU iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki, Ever Given, terkandas secara melintang.

Krisis itu telah menjejaskan rantaian bekalan tenaga global dan seterusnya menjadi punca lonjakan mendadak harga minyak mentah.

Malah, terusan itu adalah nadi atau laluan penting yang banyak digunakan bagi pergerakan kargo termasuk minyak mentah dari Asia Barat ke Eropah dan AS selain mengangkut minyak atau bahan api dari Barat ke Timur.

Pada 26 Mac 2021, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global menokok 54 sen atau 0.9 peratus pada AS$62.49 setong manakala minyak mentah West Texas Intermediate naik 65 sen atau 11 peratus pada AS$59.21 setong selepas susut 4.3 peratus sehari sebelumnya.

Impak krisis itu menyebabkan bekalan minyak yang sepatutnya dalam perjalanan ke loji-loji penapisan, terkandas di Teluk Suez dan memaksa pengeluar gasolin menggunakan stok simpanan masing-masing yang memberi tekanan ke atas harga semasa.

Menurut Deloitte, kitaran semasa peningkatan harga minyak itu juga memaparkan dua trend baharu yang dijangka berterusan sehingga ke tahun depan serta memberi cabaran dari sudut kewajaran konvensional.

Syarikat minyak dan gas masa kini lebih berdisiplin dari segi pengeluaran dengan modal yang lebih terarah walaupun dalam senario harga minyak yang tinggi, demikian menurut firma perundingan itu yang memetik trend berkenaan dalam unjuran industri minyak dan gas bagi 2022.

Menurutnya, trend seterusnya adalah peningkatan harga minyak itu juga membolehkan syarikat-syarikat terbabit bertindak membiayai komitmen karbon sifar bersih masing-masing.

Sebagai contoh, tindakan syarikat minyak dan gas Eropah mendahului usaha ikrar komitmen terbabit pada 2020 telah menyebabkan banyak syarikat minyak dan gas AS, pengeluar minyak Kanada dan beberapa syarikat minyak nasional seperti PETRONAS turut sama menyertai kelompok karbon sifar bersih itu pada tahun ini, katanya.

Syarikat minyak nasional menegaskan hasratnya untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, namun pada masa sama ia juga perlu mengimbangi antara meraih sasaran itu serta meneruskan pengeluaran hidrokarbon.

Pada Ogos lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, menyatakan penerokaan belum berakhir dan masa depan penyahkarbonan bukanlah masa depan yang tiada hidrokarbon sepenuhnya.

Beliau berkata, PETRONAS akan terus meninjau aset-aset dalam sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya.

Pada masa ini, PETRONAS memperuntukkan antara satu hingga dua peratus daripada perbelanjaan modal tahunan untuk tenaga baharu daripada peruntukan tahunan keseluruhan sebanyak RM40 bilion hingga RM50 bilion.

Kumpulan itu turut berhasrat menambah peruntukan kepada sembilan hingga 10 peratus setiap tahun selain bercadang meningkatkan pelaburan dalam tenaga hidrogen.

Pada 7 Disember lalu, Sabah mengumumkan negeri itu menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri, SMJ Petroleum Sdn Bhd untuk menyelia lebih banyak aktiviti dalam industri selepas memeterai perjanjian kerjasama komersial (CCA) dengan PETRONAS.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata syarikat itu akan berpeluang meningkatkan penyertaannya dalam aktiviti petroleum huluan, termasuk kerjasama dengan Petronas Carigali Sdn Bhd, selain menerusi perniagaan minyak dan gas pertengahan dan hiliran di negeri ini.

Langkah itu akan membolehkan negeri berkenaan menerima hasil yang lebih tinggi serta dapat mengutarakan pendapat mengenai perkara berkaitan industri minyak dan gasnya berikutan kejayaan perbincangan melibatkan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan PETRONAS.

Sabah adalah negeri pengeluar minyak kedua yang menandatangani perjanjian dengan PETRONAS selepas Sarawak, yang memeterai perjanjian penyelesaian komersial pada Disember tahun lalu.

Walaupun industri mencatatkan pemulihan yang lebih baik daripada jangkaan, ketidakpastian berhubung kedinamikan pasaran masih kekal pada tahun-tahun akan datang.

Menurut MIDF Research, kemunculan Omicron baru-baru ini menjejaskan prospek pemulihan permintaan penuh sektor itu.

Katanya, minyak mentah Brent mula merosot dari paras tertinggi tahun ini iaitu AS$82 setong kepada hanya AS$72 setong.

Walaupun ciri-ciri varian itu tidak menampilkan kesimpulan yang ketara daripada segi penyebaran, simpton dan kesan jangka panjang, sentimen secara umumnya beranggapan ancaman ini akan menjejaskan pembukaan operasi serta menyebabkan penutupan sempadan.

"Walaupun kami menjangkakan bahawa pandemik COVID-19 akan berpanjangan sehingga kadar vaksinasi global mencapai kira-kira 90 peratus berbanding 43 peratus pada tahap semasa dengan kesan kepada perniagaan agak rendah, risiko ke atas sektor daripada segi sekatan sempadan serta gangguan rantaian bekalan membabitkan bahan mentah dan tenaga kerja terus kekal," kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, OPEC+ berpandangan bahawa Omicron akan memberi kesan ke atas permintaan bahan api jet terutamanya di Afrika dan Eropah, tetapi tidak menolak varian itu akan menjejaskan harga minyak mentah.

MIDF Research berpendapat, ini akan menjadi senario utama untuk permulaan 2022, lebih-lebih lagi dengan gesaan untuk mengambil suntikan penggalak di samping vaksinasi dua dos awal yang mencerminkan bahawa Omicron akan terus kekal sebagai ancaman.

-BERNAMA

Berita Harian X