Rabu, 15 Disember 2021 | 4:54pm
Datuk Dr Yusoff Nook. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Datuk Dr Yusoff Nook. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Bendung jenayah, pasaran gelap lonjak ekonomi Sarawak

KUALA LUMPUR: Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengekalkan kadar rendah jenayah boleh disokong menerusi lebih banyak inisiatif untuk menangani jenaya ekonomi seperti rokok seludup bagi mencapai pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang lebih lagi, kata bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook, dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Dr Yusoff adalah bersempena Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang bakal berlangsung 18 Disember ini.

Dr Yusoff berkata: "Kadar jenayah di Sarawak adalah di bawah purata nasional, dan ini adalah gambaran usaha Kerajaan Negeri yang bekerja rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang bagi menjaga kehidupan dan harta di negeri ini. Hubungan kerja yang baik ini hendaklah dikekalkan, malah dicontohi oleh negeri-negeri lain.''

Menurut Dr Yusoff, laporan menunjukkan indeks jenayah Sarawak pada 2020 telah menurun kepada 5,874 berbanding 6,024 kes pada 2019.

"Melangkah ke hadapan, kerajaan negeri dan agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan hendaklah meneliti kaedah untuk menangani jenayah ekonomi bagi menutup ketirisan kepada ekonomi negeri dan melindungi perniagaan daripada menanggung kerugian akibat perbuatan jenayah,'' katanya sambil menambah, kes jenayah komersial di Sarawak menyaksikan peningkatan kepada 1,462 kes pada 2020 berbanding 1,340 kes pada 2019.

Dr Yusoff menegaskan jenayah ekonomi bukan suatu jenayah yang tidak ada mangsa.

"Satu kes utama yang harus diberi perhatian ialah Sarawak adalah satu daripada negeri yang memiliki kadar rokok seludup tertinggi di Malaysia. 9 daripada 10 rokok yang dijual di Sarawak adalah rokok seludup dan tidak dibayar cukai yang tidak mematuji apa-apa peraturan."

"Jenayah ekonomi yang tidak terkawal ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian hasil berbilion ringgit, tetapi juga memperkaya penjenayah, yang kemudiannya menggunakan wang itu untuk merasuah dan memudahcara penyusupan penjenayah di dalam institusi penguatkuasaan undang-undang dan politik,'' jelas beliau.

"Jenayah ekonomi boleh meningkat besar dalam masa terdekat ini didorong oleh kenaikan harga barangan dan golongan B40 terjejas teruk pendapatan mereka akibat pandemik COVID-19. Sudah tentu, orang akan beralih kepada alternatif lebih murah tanpa mengira kualiti, keselamatan dan sah atau tidak dari segi undang-undang. Ini hendaklah dihentikan segera dan secara berkesan oleh penggubal undang-undang Negeri merentasi semua parti politik,'' kata Dr Yusoff.

Berita Harian X