Rabu, 15 Disember 2021 | 2:06pm

Rangkaian 5G kini tersedia di Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Rangkaian 5G kini tersedia di Malaysia dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd menjadi dua pengendali telekomunikasi pertama yang menawarkan perkhidmatan itu di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Bhd (DNB), Ralph Marshall mengalu-alukan TM dan YTL Communications ke dalam rangkaian 5G DNB.

 

Beliau berkata,  TM adalah penyedia telekomunikasi tertua di negara ini dengan memperkenalkan perkhidmatan telekomunikasi hampir 40 tahun, sementara 

YTL Communications pula adalah penyedia paling muda dan hanya menawarkan rangkaian 4G saja di Malaysia.

 

"Secara bersama, kedua-dua syarikat itu mempunyai hampir  4.5 juta pelanggan dan purata permintaan data bulanan 40 hingga 50 gigabit setiap pelanggan," katanya pada majlis ketersediaan perkhidmatan komersil 5G di sini, hari ini.

 

Marshall berkata, DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G borong secara percuma kepada semua Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang berintegrasi dengan rangkaian DNB untuk kawasan liputan 5G di beberapa kawasan Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur sehingga 31 Mac 2022.

 

Katanya, MNO yang memeterai perjanjian borong sebelum Mac 2022 akan boleh mengakses kepada semua kapasiti yang tersedia dalam tempoh itu.

 

"DNB akan menyediakan perkhidmatan 5G borong kepada MNO pada kos yang rendah berbanding kos semasa mereka mennyediakan kapasiti 4G.

 

"Justeru, MNO akan menawarkan harga rendah kepada pelanggan mereka bagi perkhidmatan mudah alih, yang akan termasuk perkhidmatan 5G," katanya.

 

Marshall berkata, DNB adalah penyedia perkhidmatan 5G borong dan ia tidak bersaing dengan peserta industri untuk menawarkan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir.

 

Justeru, beliau menjelaskan, DNB hanya melengkapkan usaha MNO untuk mempercepatkan penggunaan 5G di negara ini.

 

Katanya, DNB komited untuk memperluaskan liputan 5G kepada 80 peratus penduduk menjelang 2024.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee, berkata pihaknya teruja menjadi syarikat pertama membawa 5G kepada rakyat.

 

Beliau berkata, ketersediaan 5G yang disokong oleh ekosistem kukuh DNB akan mempercepatkan liputan 5G di seluruh negara.

Berita Harian X