Isnin, 13 Disember 2021 | 3:11pm
Menara MATRADE. - NSTP/Surianie Mohd Hanif
Menara MATRADE. - NSTP/Surianie Mohd Hanif

Ekspo Dunia 2025, Malaysia beri tumpuan pelbagai peluang

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka meraih peluang perniagaan besar bernilai kira-kira AS$20 bilion hasil limpahan daripada Ekspo Dunia 2025 yang akan diadakan di Osaka, Jepun, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ia berkata Malaysia akan memberi tumpuan kepada pelbagai peluang yang muncul termasuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selaras dengan Ekspo Dunia 2025 yang bertemakan "Merancang Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan Kita" (Designing Future Society for Our Lives).

"Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Jepun dalam menghubungkan syarikat-syarikat Malaysia dan Jepun bagi mencapai matlamat ini," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Sharimahton Mat Saleh ketika berucap pada majlis pembukaan program itu yang diadakan secara maya.

MATRADE mengetuai Misi Peningkatan Eksport Maya (VEAM) ke Tokyo dan Osaka dari 30 Nov hingga 2 Dis bersempena dengan Ekspo Dunia 2025.

Agensi kerajaan itu mengatur program yang inklusif untuk peserta dengan menjemput penceramah semasa sesi pasaran dan perkongsian ilmu untuk memberikan maklumat penting berkaitan Ekspo Dunia 2025, selain trend pasaran semasa di Jepun mengikut sektor yang terbabit.

Dengan sokongan daripada Kedutaan Malaysia di Jepun dan kerjasama Kerajaan Bandaraya Osaka, Majlis Rakan Perniagaan Antara Bandar (BPC) Osaka, Pusat ASEAN Jepun (AJC) dan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA), acara ini telah membuka jalan untuk syarikat Malaysia mendapatkan akses kepada pasaran Jepun.

Melalui misi ini, MATRADE telah mengukuhkan lagi kerjasamanya dengan Majlis Rakan Perniagaan Antara Bandar (BPC) Osaka dan Pusat ASEAN Jepun dalam meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala dengan Jepun.

Selain taklimat pasaran, lawatan maya ke peruncitan dan pasar raya turut diadakan untuk memberikan pengalaman sebenar kepada peserta seolah-olah mereka berada di Jepun.

Lebih daripada 70 mesyuarat perniagaan, termasuk sesi perbincangan perniagaan telah diatur dengan lebih daripada 30 syarikat Jepun dalam VEAM.

Melalui mekanisme ini, syarikat Malaysia dapat berinteraksi dengan syarikat Jepun yang berpotensi secara langsung dan seterusnya membincangkan tentang penawaran produk atau perkhidmatan mereka semasa sesi pemadanan perniagaan yang telah diatur terlebih dahulu.

Potensi jualan untuk misi maya ini merekodkan sejumlah RM129.38 juta, sekali gus menandakan daya saing syarikat Malaysia dalam membekalkan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pasaran global yang menghasilkan lebih banyak potensi kerjasama dengan Jepun, kata MATRADE.

Pada 2020, Jepun adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dengan perdagangan bernilai RM124.14 bilion (AS$29.6 bilion), menyumbang 7.0 peratus bahagian perdagangan global Malaysia manakala dari segi eksport, Jepun adalah destinasi eksport kelima terbesar Malaysia pada 2020 dengan eksport bernilai RM62.56 bilion (AS$14.93 bilion).

– Bernama

Berita Harian X