Jumaat, 10 Disember 2021 | 5:05pm
Gambar fail. Kilang permasangan kereta DRB-Hicom Taman Industri Automotif, Pekan. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Gambar fail. Kilang permasangan kereta DRB-Hicom Taman Industri Automotif, Pekan. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Indeks pengeluaran industri meningkat pada Oktober

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia terus mengukuh kepada 5.5 peratus dengan indeks membuatan memacu pertumbuhan 8.0 peratus pada Oktober 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada masa yang sama, indeks elektrik meningkat 4.1 peratus, manakala indeks perlombongan merekodkan penyusutan 3.5 peratus.

"Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 4.8 peratus didorong oleh sektor pembuatan dan elektrik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ia bagi mengulas IPP Malaysia, Oktober 2021 yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Beliau berkata output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 8.0 peratus pada Oktober 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus pada September 2021.

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Oktober 2021 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (13.6 peratus); makanan, minuman dan tembakau (9.3 peratus) serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.3 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata pada masa sama, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.6 peratus dan 6.6 peratus.

Beliau berkata peningkatan bagi industri berorientasikan eksport disumbangkan terutama oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

"Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata sementara itu, pertumbuhan bagi industri berasaskan domestik dipengaruhi oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan.

"Pengembangan industri berorientasikan domestik turut didorong oleh kerancakan ekonomi domestik dan aktiviti sosial berikutan kebenaran rentas negeri pada 11 Okt, 2021 dan kebanyakan negeri telah beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Beliau berkata sektor pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan turut meningkat 4.0 peratus berbanding September 2021 di mana kenaikan ini turut digambarkan oleh kapasiti penggunaan kilang yang lebih tinggi berbanding bulan lalu terutama dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain; produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut.

Mohd Uzir berkata output sektor perlombongan menguncup 3.5 peratus pada Oktober 2021 berbanding tempoh yang sama pada 2020.

"Penyusutan tersebut disebabkan oleh kejatuhan 10.2 peratus dalam indeks minyak mentah dan kondensat sementara itu indeks gas asli tumbuh 2.0 peratus," katanya.

Beliau berkata indeks perlombongan merekodkan peningkatan 7.1 peratus berbanding bulan lalu.

Output sektor elektrik berkembang 4.1 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama tahun lalu, katanya.

Beliau berkata dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik turut berkembang 7.7 peratus.

"IPP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021 merekodkan pengembangan 7.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut dipengaruhi oleh kenaikan dalam kesemua komponen; indeks pembuatan (9.4 peratus), indeks elektrik (1.9 peratus) dan indeks perlombongan (1.8 peratus)," katanya.

– Bernama

Berita Harian X