Rabu, 8 Disember 2021 | 2:34pm
COVID-19 menggugat nyawa serta kehidupan manusia dan merencatkan usaha pemulihan ekonomi -NSTP/Mikail Ong
COVID-19 menggugat nyawa serta kehidupan manusia dan merencatkan usaha pemulihan ekonomi -NSTP/Mikail Ong

COVID-19 kekal jadi musuh ekonomi

KUALA LUMPUR: Tahun 2021 sekali lagi membawa kita cabaran yang sama seperti yang dihadapi dunia pada 2020 dengan COVID-19 masih lagi menjadi isu kritikal yang perlu ditangani, berterusan menggugat nyawa serta kehidupan manusia dan merencatkan usaha pemulihan ekonomi.

Walaupun Malaysia pada mulanya merasakan negara bakal menyaksikan prospek pemulihan pada akhir 2020, namun harapan itu terbantut seketika ekoran kemunculan varian baharu berbahaya COVID-19 dari semasa ke semasa daripada varian Delta hinggalah kepada Lambda dan yang terkini Omicron.

Tidak sampai dua minggu kita melangkah masuk ke tahun 2021, Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan pergerakan baharu di seluruh negara bagi membendung lonjakan kes COVID-19 selepas Malaysia merekodkan 2,232 kes baharu dan empat kematian pada hari itu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 138,224 dan 555 kematian sejak permulaan pandemik tahun lalu.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 itu dilaksanakan semula di Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 hingga 26 Januari 2021.

Dengan pelaksanaan PKP 2.0, maka bermulalah semula sekatan pergerakan antara negeri dan daerah; perjalanan dihadkan hanya sejauh 10 kilometer dari rumah masing-masing dan hanya lima sektor ekonomi utama iaitu pembuatan, pembinaan, perkhidmatan (termasuk pasar raya, bank dan perkhidmatan kesihatan) perdagangan dan pengedaran dan perladangan, dibenarkan beroperasi, yang sekali lagi membawa kejutan baharu kepada ekonomi.

Dengan kes harian melebihi 4,000 kes, 37,396 kes aktif dan 1,700 kematian dilaporkan sehingga 10 Mei, Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga pandemik itu dan kerajaan kemudiannya mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara iaitu PKP 3.0 dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Seterusnya, sekatan pergerakan penuh selama 14 dilaksanakan bermula 1 Jun dan dilanjutkan kepada dua minggu lagi sehingga 28 Jun, kerana kes baharu harian masih berjumlah lebih daripada 5,000 kes.

Bagi menangani kegawatan ekonomi, Muhyiddin pada 15 Jun melancarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) empat fasa yang bertujuan memastikan kehidupan kembali normal menjelang akhir tahun ini.

PPN strategi untuk keluar daripada pandemik COVID-19 dan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Pada 15 Ogos, kerajaan mula melonggarkan sekatan dan membenarkan lebih banyak sektor perniagaan memulakan semula operasi di bawah Fasa Satu PPN yang terpakai kepada mereka yang lengkap menerima vaksin.

Berikutan pelaksanan PKP yang berterusan sepanjang tempoh tiga suku pertama tahun ini, kesannya terhadap ekonomi dapat dilihat menerusi angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menguncup 0.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2021 daripada 0.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2020.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), KDNK suku kedua 2021 meningkat 16.1 peratus tahun ke tahun disebabkan oleh asas rendah yang dicatatkan pada suku kedua 2020 (-17.1 peratus tahun ke tahun).

Bagi suku ketiga 2021, ekonomi negara menguncup 4.5 peratus tahun ke tahun berbanding penurunan 2.6 peratus tahun ke tahun berikutan pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan.

Walaupun penguncupan dan kesan PKP pada 2021 tidak seteruk suku kedua 2020 yang menyaksikan KDNK negara menjunam 17.1 peratus, namun ia memaksa pihak berkuasa untuk menyelaraskan unjuran pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, bersandarkan kepada kadar pemberian vaksinasi, Bank Negara Malaysia (BNM) pada mulanya mengunjurkan pertumbuhan 6.0 hingga 7.5 peratus untuk 2021, tetapi pada Ogos, pertumbuhan itu disemak kepada antara tiga hingga empat peratus untuk tahun berkenaan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus, berkata semakan dalam unjuran pertumbuhan tahunan dibuat selepas mengambil kira pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara.

Beliau berkata sasaran pertumbuhan tiga hingga empat peratus itu boleh dicapai kerana langkah-langkah pembendungan dilonggarkan secara berperingkat dan aktiviti ekonomi akan bertambah baik.

Mengenai inflasi pula, BNM pada November memberi jaminan negara tidak akan menghadapi stagflasi walaupun inflasi global meningkat.

Menurut bank pusat, inflasi utama Malaysia berada pada purata 2.3 peratus pada 12 November dan diunjurkan berpurata antara dua tiga peratus untuk 2021, manakala inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka pada purata di bawah satu peratus untuk tahun itu.

BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus sejak 7 Julai 2020, sementara Moody's Analytics mengunjurkan kadar faedah kekal tidak berubah sebelum bank pusat dijangka mengumumkan kenaikan kadar pada separuh kedua 2022, memandangkan prospek ekonomi Malaysia akan lebih cerah tatkala memasuki tahun baharu.

Sementara itu, Malaysia menyaksikan dagangannya mencatatkan satu lagi rekod tertinggi sebanyak RM202.6 bilion, atau sehingga 26.5 peratus, tahun ke tahun pada Oktober, melepasi paras RM200 bilion buat kali pertama.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan eksport pada Oktober meningkat 25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM114.4 bilion, import naik 27.9 peratus tahun ke tahun kepada RM88.2 bilion manakala lebihan dagangan meningkat 17.9 peratus tahun ke tahun kepada RM26.3 bilion.

Eksport untuk tempoh awal tahun kewangan hingga Oktober naik 25 peratus tahun ke tahun kepada RM1 trilion, pertumbuhan terpantas sejak 1998, menurut Ambank Research.

Bagi pelaburan langsung asing (FDI), data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia terus mencatatkan aliran masuk sebanyak RM12.8 bilion pada suku ketiga 2021 daripada RM8.2 bilion pada suku kedua 2021 manakala pelaburan langsung di luar negara (DIA) menjadi aliran masuk bersih sebanyak RM4.7 bilion daripada aliran keluar bersih sebanyak RM4 bilion pada suku tahun sebelumnya.

Kembali kepada awal 2021, kerajaan memperkenalkan empat pakej rangsangan berjumlah RM225 bilion, dengan suntikan fiskal sebanyak RM25 bilion, dalam usaha untuk terus membantu rakyat dan perniagaan mengatasi kesukaran kewangan yang terjejas akibat PKP yang berpanjangan.

Empat pakej rangsangan itu ialah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) RM20 bilion, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) RM40 bilion dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) RM150 bilion.

Sementara itu, 2021 turut menjadi tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025, apabila RM400 bilion diperuntukkan di bawah pelan hala tuju negara selama lima tahun itu, meningkat sebanyak 61 peratus berbanding perbelanjaan sebenar sebanyak RM248.5 bilion untuk RMK11.

Diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September, RMK-12 mempunyai tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan untuk menyediakan asas yang kukuh untuk masa depan Malaysia.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan pada 20 Ogos menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos selepas kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Pada 27 Ogos, Ismail Sabri mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' membabitkan 31 menteri, termasuk 13 menteri berpengalaman di bawah kerajaan terdahulu yang termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed; dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Berikutan Malaysia terus berdepan dengan gelombang COVID-19 yang masih tidak reda, Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu meluluskan kenaikan had hutang statutori kepada 65 peratus daripada KDNK berbanding 60 peratus sebelum ini.

Tengku Zafrul yang membentangkan dua rang undang-undang (RUU) iaitu Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021 dan Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 pada Oktober berkata, RUU pertama bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH yang memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion.

Beliau berkata, pindaan RUU kedua bertujuan memperoleh kelulusan meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) dari RM65 bilion kepada RM110 bilion.

Tengku Zafrul pada Julai dilaporkan berkata defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat sehingga antara 6.5 dan 7.0 peratus daripada KDNK pada 2021 daripada enam peratus yang disasarkan sebelumnya, selepas mengambil kira pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan.

Bagi mengeluarkan Malaysia daripada kesuraman ekonomi, Malaysia membentangkan bajet terbesarnya menerusi Bajet 2022 bernilai RM332.10 bilion pada 29 Oktober, melebihi Bajet 2021 iaitu RM322.54 bilion, dengan sebahagian besarnya disalurkan untuk penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Menerusi Bajet 2022, Cukai Makmur yang dikenakan sekali sahaja telah diperkenalkan kepada syarikat yang menjana pendapatan bercukai tinggi, dengan RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

Dalam bajet itu, pendapatan daripada sumber asing yang diterima di Malaysia akan turut dikenakan cukai bermula 1 Januari 2022.

Mengenai impak Bajet 2022 terhadap penarafan negara, Ketua Penyelidikan Pendapatan Tetap Maybank Kim Eng, Winson Phoon menjangkakan Fitch mengekalkan unjuran BBB+/Stabil manakala Moody's pula pada unjuran A3/Stabil bagi Malaysia.

Satu-satunya risiko ialah S&P, yang memberi prospek A-/Negatif untuk Malaysia.

"Persoalan penting adalah sama ada pengukuhan fiskal jangka sederhana Malaysia ini cukup besar atau pantas untuk mengelakkan penarafan diturunkan, yang saya fikir ia mungkin hampir-hampir berlaku," katanya dalam webinar pada 3 November lalu.

Ketika Malaysia berusaha untuk memulihkan pertumbuhan ekonominya, kemunculan varian baharu yang tidak dijangka, B.1.1.529 baharu atau lebih dikenali sebagai Omicron memberi satu lagi cabaran dalam perjalanan menuju pemulihan.

Pada 30 November, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa Malaysia terpaksa menangguhkan seketika usaha untuk beralih ke fasa peralihan ke endemik berikutan ketidaktentuan yang disebabkan oleh varian Omicron.

Bagaimanapun, Ambank Research terus mengekalkan unjuran terhadap pertumbuhan KDNK tahun penuh 2021 pada kira-kira 3.5 peratus dengan peningkatan sebanyak 4.0 peratus.

"Melangkah ke hadapan, peningkatan dalam sektor pembuatan akan kekal disokong oleh pembukaan semula ekonomi, elektrik dan elektronik berprestasi tinggi, pembuat sarung tangan, subkumpulan petroleum dan bahan kimia, permintaan luar yang kukuh dan harga komoditi yang tinggi.

"Kami masih memantau faktor-faktor yang menimbulkan ancaman besar kepada kemajuan pemulihan, sekiranya menjadi kenyataan, ia boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi," kata Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidik, Dr Anthony Dass dan ahli ekonomi Muhamad Farid Anas Johari dalam nota penyelidikan baru-baru ini.

Kementerian Kewangan menjangkakan KDNK berkembang antara tiga dan empat peratus pada 2021 dan antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022, disokong oleh peningkatan ketara dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan pandemik dan keadaan bertambah baik secara beransur-ansur dalam sentimen pengguna dan perniagaan.

Ia berkata, selepas mempertimbangkan pertumbuhan hasil dan keperluan perbelanjaan, defisit fiskal dijangka menyederhana kepada enam peratus dalam KDNK pada 2022. - BERNAMA

Berita Harian X