Jumaat, 3 Disember 2021 | 4:57pm
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - Foto fail NSTP
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - Foto fail NSTP

Ekonomi digital pacu kelangsungan perniagaan

KUALA LUMPUR: Ekonomi digital menjadi aspek penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam norma baharu, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menegaskan, elemen itu menyaksikan negara melipatgandakan usaha terutama dalam menyediakan platform pembiayaan digital, e-dagang dan ekonomi gig.

"Terima kasih kepada COVID-19 kerana dunia telah mengambil lonjakan kuantum dalam penggunaan digital dan mengubah cara kita menerima penyelesaian digital serta mewujudkan tawaran lebih baik.

"Walaupun kita bercakap tentang kewajipan untuk kepelbagaian vaksin, keperluan bagi kepelbagaian digital menjadi sama pentingnya kerana pendigitalan adalah penggerak masa kini dan masa depan," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Forum Inisiatif Asia Pasifik Ketiga 2021 bertajuk 'Prioritising innovation as the key to unlocking post-crisis growth' hari ini.

Pada 2016, saiz ekonomi digital global bernilai AS$11.5 trilion (RM48.6 trilion), bersamaan 15.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Saiz ekonomi digital dijangka terus berkembang kepada 24.3 peratus menjelang 2025.

Mohamed Azmin berkata, inovasi dalam meningkatkan keupayaan teknologi dan mempercepatkan penggunaan alat digital adalah aspek penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau ini khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi.

"Inovasi kreatif adalah penting untuk menangani dan menyelesaikan banyak isu baharu yang telah muncul seperti perlindungan data, keselamatan siber dan perkhidmatan percukaian digital, apatah lagi peraturan kecerdasan buatan di samping peraturan algoritma yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata, hari ini tindakan berdasarkan iklim memacu dasar ekonomi, strategi perindustrian dan pertumbuhan baharu adalah untuk menjadi lestari.

"Tindakan kita hari ini akan menentukan masa depan generasi kita," katanya

Mohamed Azmin berkata, menyedari tentang perkara itu, Malaysia komited Realising this, Malaysia untuk memacu kemampanan dan pemulihan inklusif seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dengan komitmen untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau bersih sifar, seawal menjelang 2050.

"Seterusnya, menyepadukan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam perniagaan adalah keperluan yang semakin meningkat yang boleh memacu penciptaan nilai jangka panjang, menggalakkan amalan perniagaan yang mampan serta menarik lebih ramai pelabur yang berdaya maju," katanya.

Berita Harian X