Khamis, 2 Disember 2021 | 8:14pm
Pelabuhan Klang mengendalikan sebanyak 12.69 juta TEU setakat 30 November 2021 - Foto hiasan
Pelabuhan Klang mengendalikan sebanyak 12.69 juta TEU setakat 30 November 2021 - Foto hiasan

Pelabuhan Klang sibuk tahun ini

KUALA LUMPUR: Pelabuhan Klang dijangka mengendalikan 13.8 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena menjelang akhir tahun ini, sekali gus bakal mengatasi pencapaian yang dicatatkan pada 2019, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, pada 2019, iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda, pelabuhan utama di Malaysia itu mengendalikan sebanyak 13.6 juta TEU.

"Setakat 30 November 2021, Pelabuhan Klang mengendalikan sebanyak 12.69 juta TEU. Dengan prestasi ini, dalam tempoh sebulan lagi kita pasti mencipta rekod terbaik untuk Pelabuhan Klang, yang dijangka (mengendalikan) 13.8 juta TEU," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis penyerahan dokumen (Jajaran Utara) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini, hari ini.

Melangkah ke depan, Ka Siong berkata, Pelabuhan Klang perlu diperbesarkan lagi untuk bersaing dengan pelabuhan utama lain di rantau ini seperti Singapura yang membesarkan pelabuhannya untuk menampung kapasiti sebanyak 65 juta TEU setahun.

Beliau berkata, setiap tahun, Pelabuhan Klang perlu menambah kapasiti sebanyak 1.5 juta TEU, yang mana tambahan kapasiti itu belum cukup untuk bersaing dengan pelabuhan negara jiran.

Justeru, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan sedang meninjau untuk menjadikan Pulau Carey sebagai pusat maritim dengan menempatkan pelabuhan ketiga di situ.

"MOT menjalankan satu kajian yang agak lama, dua tahun (lalu) untuk menjadikan Pulau Carey sebagai satu pusat maritim termasuk juga bagaimana kita hendak buat pelabuhan ketiga di situ," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan Selangor berharap agar hasrat untuk menjadikan Pulau Carey sebagai hab logistik baharu dapat direalisasikan secepat mungkin.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap Jawatankuasa Pembangunan Bersama Pulau Carey turut dapat ditubuhkan bagi merealisasikan hasrat itu.

Berita Harian X