Rabu, 1 Disember 2021 | 11:57am
Selangor adalah penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia - Foto hiasan
Selangor adalah penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia - Foto hiasan

Invest Selangor yakin prospek ekonomi 2022

SHAH ALAM: Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan kerajaan negeri Selangor, kekal optimistik tetapi berhati-hati terhadap prospek ekonomi negeri untuk 2022 kerana COVID-19 membawa banyak cabaran baharu, khususnya kepada rantaian bekalan kebanyakan industri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris, berkata bekalan terhad bahan mentah, alat ganti dan komponen, terutama dalam industri elektrik dan elektronik, menghalang penghantaran tempahan baharu banyak barangan elektronik di seluruh dunia.

"Bagaimanapun, kami kekal positif tetapi berhati-hati dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negeri bagi 2022," katanya kepada Bernama.

Hasan Azhari berkata, Selangor adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, menyumbang secara purata 24 peratus setahun.

Justeru, pertumbuhan ekonomi negeri memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Tahun lalu, negeri itu merekodkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan sebanyak 2.09 peratus di tengah-tengah penguncupan KDNK negara keseluruhan sebanyak 5.6 peratus disebabkan oleh pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

Beliau berkata, di sebalik situasi pandemik yang bermula pada awal 2020, Selangor berjaya memperoleh tempat teratas sebagai destinasi pelaburan terbaik Malaysia untuk sektor pembuatan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM18.4 bilion tahun lalu.

"Untuk 2021, sasaran awal kami untuk pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan/pembuatan ialah RM12 bilion. Bagaimanapun, kami menilai semula ini kerana ketidakpastian pandemik, penyebaran varian baharu dan sekatan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi dan perjalanan banyak menjejaskan rancangan untuk 2021.

"Kami berharap keadaan akan semakin baik pada 2022 dan akan dapat merancang aktiviti pembabitan dan promosi dengan lebih baik," kata Hasan Azhari.

Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor merekodkan nilai pelaburan lebih tinggi sebanyak RM4.64 bilion dari Januari hingga Jun 2021, berbanding RM3.39 bilion pada separuh pertama 2020, manakala jumlah projek pembuatan yang diluluskan ialah 122, sama seperti tahun lalu.

Beliau berkata, 9,179 pekerjaan diwujudkan dalam tempoh itu, manakala pelaburan tempatan dan asing masing-masing meningkat kepada RM4.06 bilion dan RM576.98 juta, berbanding dengan 5,001 pekerjaan diwujudkan, RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing pada separuh pertama 2020 .

-BERNAMA

Berita Harian X