Isnin, 29 November 2021 | 4:46pm
Gaji pekerja Malaysia dijangka meningkat susulan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara - Foto hiasan
Gaji pekerja Malaysia dijangka meningkat susulan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara - Foto hiasan

Pekerja Malaysia bakal terima gaji lebih tinggi 2022

KUALA LUMPUR: Pekerja Malaysia bakal menerima kenaikan gaji sebanyak 4.5 peratus secara median pada tahun depan, demikian mengikut Tinjauan Jumlah Imbuhan 2021 oleh Mercer.

Tinjauan tahunan itu dibuat membabitkan 544 organisasi dengan 97 peratus daripadanya adalah syarikat multinasional (MNC) merentasi 10 industri di Malaysia di antara April dan Jun tahun ini.

Menurut Mercer, jika dikecualikan syarikat yang melaksanakan pembekuan gaji, kenaikan itu adalah 0.4 peratus lebih baik berbanding 4.1 peratus tahun ini, tetapi masih rendah daripada lima peratus yang dicatatkan pada tahun 2019.

"Walaupun kenaikan gaji median Malaysia adalah di bawah purata Asia Pasifik sebanyak 5.4 peratus, ia menunjukkan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun ini, kembali hampir kepada paras pra-pandemik 4.4 peratus pada 2019.

"Di seluruh rantau, Pakistan (9.0 peratus) melaporkan kenaikan gaji tertinggi manakala anggaran untuk Jepun adalah yang paling rendah pada 2.3 peratus," katanya.

Ketua Perniagaan Karier Mercer di Malaysia, Koay Gim Soon, berkata walaupun kenaikan gaji menunjukkan bahawa syarikat yakin dengan pembukaan semula perniagaan secara beransur-ansur di Malaysia, ia masih lebih rendah daripada tahap pra-pandemik.

"Berdepan dengan tekanan kewangan, kami melihat perbezaan dalam cabaran yang dihadapi dan kadar pemulihan bagi MNC dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Walaupun MNC mempunyai cara untuk bertahan setakat ini, mereka kini perlu melihat ke dalam bidang seperti pembabitan dan produktiviti, kerana pekerja kekal dan mengharapkan lebih daripada pampasan.

"PKS sebaliknya, dengan sumber yang lebih sedikit, mesti kekal fokus pada keutamaan perniagaan utama dan memastikan pakej pampasan mereka berdaya saing untuk menarik dan mengekalkan bakat yang tepat untuk mengekalkan perniagaan mereka," katanya.

Merentasi seluruh industri yang ditinjau, sektor runcit gaya hidup dijangka menyaksikan peningkatan terbesar dalam kenaikan gaji pada 4.2 peratus pada 2022, meningkat daripada 3.0 peratus pada 2021.

Ini diikuti oleh sains hayat (0.7 peratus meningkat kepada 5.0 peratus, serta industri barangan pengguna dan kimia, masing-masing naik 0.5 peratus kepada 4.5 peratus dan 5.0 peratus.

Dari segi bonus, majikan di Malaysia juga meningkatkan pembayaran secara purata kepada 2.2 bulan untuk 2021, berbanding 2.1 bulan pada 2020, dengan industri sains hayat dan perkhidmatan perkongsian menyaksikan pembayaran tertinggi sebanyak 2.4 bulan.

Berita Harian X