Isnin, 29 November 2021 | 11:56am
Terdapat keperluan supaya pasukan sumber manusia membangunkan dasar kerja hibrid komprehensif menjangkaui waktu bekerja dan lokasi - Foto hiasan
Terdapat keperluan supaya pasukan sumber manusia membangunkan dasar kerja hibrid komprehensif menjangkaui waktu bekerja dan lokasi - Foto hiasan

Konsep kerja fleksibel jadi pilihan majikan, pekerja

KUALA LUMPUR: Konsep persekitaran kerja yang fleksibel atau hibrid kini menjadi pilihan majikan dan pekerja dalam era COVID-19 dan pasca pandemik, demikian menurut Randstad Malaysia.

Ketua Operasinya, Fahad Naeem, berkata lebih ramai pencari kerja memilih majikan yang boleh menawarkan pengurusan masa kerja fleksibel, sekali gus menuntut pasukan sumber manusia membangunkan dasar kerja hibrid komprehensif menjangkaui waktu bekerja dan lokasi.

"Pemimpin perniagaan juga perlu mengkaji semula impak tenaga kerja jarak jauh jauh dalam pengurusan pekerjaan, budaya, pembelajaran dan pembangunan serta proses pengambilan dan penerimaan.

"Profesional sumber manusia seharusnya membuat perubahan progresif kepada organisasi, walaupun pada hakikatnya ia mungkin kelihatan sebagai usaha transformasi yang besar.

"Malah, syarikat yang enggan menyesuaikan diri dengan gaya kerja baharu akan menghadapi masa yang sukar untuk mengekalkan dan menarik bakat terbaik," katanya dalam laporan tinjauan pasaran dan gaji Malaysia 2022.

Fahad berkata, pengaturan kerja yang fleksibel dijangka mengubah strategi tarikan bakat syarikat.

"Selepas berdepan dengan pelbagai isu sepanjang 2020, pekerja akhirnya mula membiasakan diri bekerja dengan produktif di rumah.

"Kebanyakan dapat memberi tumpuan dengan lebih baik dan membangunkan proses komunikasi yang paling sesuai untuk mereka dan pasukan," katanya.

Beliau menjelaskan, syarikat multinasional yang melabur di Malaysia dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dijangka berkembang dan meningkatkan operasi pada tahun-tahun akan datang.

"Bagaimanapun, majikan perlu mengambil perhatian dengan fenomena baharu, yang boleh menjadi satu fenomena yang unik kepada Malaysia, iaitu 'tenaga terpendam' daripada pekerja yang bekerja dari rumah," katanya.

Fahad berkata, industri sumber manusia dijangka memainkan peranan sangat kritikal dalam membina kapasiti modal insan syarikat untuk memacu strategi transformasi digital bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan pada 2022.

"2022 menjanjikan tahun yang sangat menarik dan berdaya saing untuk semua perniagaan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, disebabkan dasar ketat dalam pengambilan pekerja asing, banyak majikan mahu mengambil bakat mahir tempatan untuk menyokong projek transformasi digital.

Justeru, katanya antara segmen yang mendapat permintaan sangat tinggi adalah sekuriti siber, blockchain, perbankan digital dan Internet Kebendaan (IoT).

"Banyak syarikat juga mengharapkan calon dalam fungsi lain seperti sumber manusia, jualan & pemasaran serta perakaunan & kewangan untuk membiasakan diri bekerja dengan platform dan proses digital.

"Calon juga mempunyai jangkaan yang lebih tinggi dari segi keupayaan mereka untuk berfikir secara kreatif dan menerima pakai teknologi untuk meningkatkan operasi dan produktiviti," katanya.

Sehubungan itu, Fahad berkata, Randstad Malaysia menjangkakan pasaran pengambilan semula pekerja akan kembali bangkit tidak lama lagi.

Katanya, pekerja juga memiliki motivasi untuk mencari pekerjaan baharu terutama jika mereka sudah merancang untuk berbuat demikian sebelum sekatan dilaksanakan dan ingin memanfaatkan peluang pekerjaan baharu sebaik sahaja operasi perniagaan pulih sepenuhnya.

"Sesetengah pekerja mungkin terpaksa menukar pekerjaan akibat pengalaman negatif yang mereka alami semasa sekatan pergerakan, seperti bekerja dengan pengurus yang teruk atau tidak mendapat sokongan yang mencukupi untuk bekerja dari rumah," katanya.

Berita Harian X