Khamis, 25 November 2021 | 8:22am
(Dari kiri) Daniel Yap, Kevin Nair dan Zhin Shun mempamerkan produk Aoikumo.
(Dari kiri) Daniel Yap, Kevin Nair dan Zhin Shun mempamerkan produk Aoikumo.

MeTIME Wellness disasar lonjak pertumbuhan Aoikumo

KUALA LUMPUR: Aoikumo, penyedia sistem POS berasaskan-awan untuk industri kecantikan, estetika perubatan dan kesejahteraan menyasarkan pertumbuhan sekurang-kurangnya 50 peratus tahun ini berdasarkan keadaan semasa di Malaysia dan Asia Tenggara.

Pengasas dan Ketua Teknikal Aoikumo, Kevin Nair, berkata syarikat dapat melepasi suasana suram akibat pandemik COVID-19 apabila mencapai pertumbuhan 229 peratus bagi tempoh 2019 dan 2020.

Sasaran pertumbuhan mampan tahun ini di sebalik pandemik pula katanya, disandarkan kepada teknologi dibangunkan syarikat untuk kemudahan pemain industri terutama aplikasi MeTIME Wellness.

"Kami telah melancarkan aplikasi tempahan pelanggan, MeTIME Wellness yang boleh dimuat turun dari stor aplikasi. Aplikasi ini dibangunkan untuk membolehkan pelanggan pengguna kami membuat tempahan dalam talian, melihat sejarah akaun dan promosi," katanya dalam kenyataan.

Mengulas kemas kini sistem, Nair berkata, Aoikumo kini turut merangkumi ciri Ubat dan Preskripsi, bersama-sama dengan laporan yang berkaitan dengan keperluan Kementerian Kesihatan (KKM).

Modul Nota Kes Doktor juga telah diberi pembaharuan untuk menjadikannya lebih mantap dan mesra. Aplikasi kumoSan yang dikeluarkan awal tahun ini pula bagi membantu pengguna merakam waktu masuk dan keluar pekerja. Ia memberi penyelesaian kepada pekerja menguruskan janji temu, komisen dan tugasan dengan lebih sempurna.

"Kini kumoSan diintergrasikan dengan MeTIME Wellness. Jadi apabila pelanggan menempah perkhidmatan melalui MeTIME Wellness, pekerja akan menerima pemberitahuan tempahan secara langsung di aplikasi kumoSan, membolehkan mereka mengesahkan, menolak atau menjadualkan semula tempahan," katanya.

Aoikumo, sistem berasaskan awan sepenuhnya kali pertama diperkenalkan ke pasaran pada awal tahun 2018 dan popular dalam industri kecantikan dan estetika. Penyelesaian ini digunakan oleh beberapa jenama terkemuka di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Dalam tempoh enam bulan lalu terdapat lonjakan pertambahan pelanggan dalam sektor estetika perubatan yang menjadikan jumlah penggunanya kepada 2,300, setakat ini.

Walaupun pertumbuhan semasa lebih perlahan susulan pandemik COVID-19, Aoikumo menjangkakan pertumbuhan kepada sekurang-kurangnya 4,000 pengguna menjelang akhir tahun ini terutama dengan pelancaran kumoDent dan MeTIME Wellness.

"Untuk tahun depan, kami sedang mengusahakan modul integrasi yang menghubungkan aplikasi berkenaan dengan kebanyakan laman web beli-belah di Malaysia. Ini seharusnya dapat mengurangkan kesan kerugian terhadap pendapatan untuk kedai fizikal," katanya.

Aoikumo adalah penerima geran CIP oleh Cradle Fund pada tahun 2017. Pertumbuhan firma ini lebih 100 peratus dan baru-baru ini memperoleh CIP IGNITE (ii), satu program pembiayaan yang menyediakan geran dan bantuan nilai tambah.

Aoikumo diiktiraf sebagai Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSP) di bawah inisiatif Geran Pendigitalan Perniagaan PKS SME, MDeC dan Penyedia Perkhidmatan Digital (DSP) di bawah inisiatif kerajaan negeri Selangor (SIDeC).

Berita Harian X