Rabu, 24 November 2021 | 7:14pm
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - BERNAMA
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - BERNAMA

Kerajaan komited teruskan program perlindungan sosial

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited untuk meneruskan pelbagai program perlindungan sosial yang akan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia selaras dengan langkah kerajaan di seluruh dunia yang mengambil langkah memperkukuhkan dasar perlindungan sosial dengan memerlukan sokongan fiskal tambahan bagi menyokong dasar itu.

"Sebagai contoh, kerajaan telah menyediakan RM80 juta menerusi Program Kasih Suri Keluarga Malaysia untuk melindungi suri rumah sehingga umur 55 tahun dengan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Sumbangan padanan sebanyak 80 peratus kepada PERKESO juga akan diperluaskan merangkumi sembilan kategori baharu bekerja sendiri, termasuk petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan pekerja Pemulihan Komuniti," katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2021) hari ini.

Menurut Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF), sejak bermulanya COVID-19, kerajaan di dunia telah menyediakan hampir AS$17 trilion (RM71.3 trilion) dalam bentuk bantuan fiskal.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga meningkatkan pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman sukarela KWSP bagi menggalakkan pekerja sektor tidak formal dan bekerja sendiri menyimpan untuk persaraan.

"Kita juga memperuntukkan RM300 juta untuk Elaun Carian Kerja tahun depan dan had pelepasan cukai bagi PERKESO dinaikkan kepada RM350 dengan skop pelepasan diperluaskan dengan memasukkan caruman pekerja ke Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).

"Bagi meringankan beban rakyat akibat COVID-19, kerajaan dan KWSP telah melaksanakan tiga skim pengeluaran, dengan jumlah pengeluaran mencecah RM101 bilion setakat ini," katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun tiga skim pengeluaran KWSP membantu ahli memerlukan, namun wujud kebimbangan mengenai tabungan pencen hari tua.

Katanya, KWSP mendapati 50 peratus ahli di bawah umur 55 tahun mempunyai kurang RM10,000 dalam akaun.

"Pelbagai faktor menyumbang kepada kebimbangan ini termasuk gaji rendah, caruman KWSP yang tidak konsisten dan kekurangan celik kewangan. Bagaimanapun, sebagai penggubal dasar, kita mengambil berat tentang isu struktur asas yang telah menyumbang kepada ketidakcukupan dana persaraan.

"Namun begitu, kerajaan membantu simpanan persaraan dan menyediakan perlindungan insurans kepada B40 membabitkan dua aspek sistem keselamatan sosial yang luas," katanya.

Tengku Zafrul berkata, cabaran yang timbul untuk meningkatkan keselamatan sosial termasuk kecukupan pencen hari tua; populasi yang semakin tua, dan seperti yang ditunjukkan dengan tepat oleh COVID-19 iaitu risiko serta kejutan global yang boleh menjejaskan sepenuhnya rancangan persaraan jangka panjang seseorang.

"Justeru, dalam Bajet 2022, pelbagai langkah telah diperkenalkan untuk membantu orang ramai dan perniagaan pulih. Ini termasuk bantuan langsung untuk B40 dan sebahagian M40; serta pinjaman mikro dengan kadar faedah sifar peratus dan moratorium enam bulan.

"Apabila lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka semula, kerajaan akan mencari jalan untuk membantu Keluarga Malaysia yang terjejas membina semula dana persaraan mereka.

"Sebagai tambahan kepada pelbagai langkah untuk menyokong kesihatan wanita, kanak-kanak dan kumpulan rentan, langkah lain untuk menggalakkan gaya hidup sihat telah diperkenalkan seperti dikemukakan dalam Bajet 2022 seperti peluasan duti eksais ke atas minuman pra-campuran dan minuman biasa sarat gula, serta cecair vape," katanya.

Berita Harian X