Rabu, 24 November 2021 | 5:03pm
Gambar hiasan. Bitcoin. - Bloomberg
Gambar hiasan. Bitcoin. - Bloomberg

INCEIF, ITC Motac kaji penggunaan mata wang kripto

KUALA LUMPUR: Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) bekerjasama dengan Pusat Pelancongan Islam (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), untuk menjalankan kajian tentang potensi penggunaan mata wang kripto dalam industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

INCEIF berkata kajian juga akan dijalankan untuk melihat kemungkinan memanfaatkan aspek pelancongan yang lestari dan bertanggungjawab dalam industri.

"Kajian yang akan dijalankan dengan kerjasama INCEIF, di bawah program Pembelajaran Berasaskan Tindakan (ABL) universiti, akan menyediakan fakta dan statistik yang sangat diperlukan untuk mengoptimumkan potensi sektor Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).

"Projek ABL telah dijalankan oleh pelajar-pelajar INCEIF pada semester September 2021," kata pihak berkenaan dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menyedari potensi besar pelancongan Islam di bawah konsep MFTH, Malaysia melalui MOTAC dan ITC akan terus meningkatkan usaha untuk mendapatkan lebih banyak bahagian pasaran.

Adalah penting Malaysia memanfaatkan potensi Pelancongan Islam untuk persediaan bagi pembukaan semula perjalanan dan pemulihan dalam kalangan pelancong Islam ke negara ini, kata mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF Prof Azmi Omar berkata dengan pengetahuan industri dan rangkaian ITC, pasukan ABL akan dapat merapatkan jurang antara penyelidikan dan amalan perniagaan.

"Projek seperti itu diharapkan akan membawa kepada penciptaan ekosistem inovasi yang kondusif bagi menangani masalah industri yang memerlukan penyelidikan berasaskan permintaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat berkata kajian ini akan memberikan gambaran mendalam tentang pasaran pengguna Islam dan akan meningkatkan Pelancongan Islam dan peranannya dalam memacu ekonomi Islam.

"ITC sentiasa melihat untuk menyokong pemain industri pelancongan dan menyediakan mereka dengan pengetahuan bagi memacu inovasi produk dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim," tambahnya.

– Bernama

Berita Harian X