Isnin, 22 November 2021 | 10:42am
Ketua Jabatan Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim pada Taklimat Perjalanan Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama media di Hotal Perdana Klcc, Kuala Lumpur. - NSTP/AZHAR RAMLI
Ketua Jabatan Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim pada Taklimat Perjalanan Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama media di Hotal Perdana Klcc, Kuala Lumpur. - NSTP/AZHAR RAMLI

Saringan Maqasid teras pelaburan PNB

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melaksanakan proses Saringan Maqasid bagi memastikan pelaburannya sentiasa mematuhi keperluan syariah.

Langkah PNB itu sekali gus diharapkan dapat menghilangkan keraguan orang ramai khususnya yang beragama Islam, mengenai status pelaburan mereka dalam unit amanah yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Ketua Pengurusan Syariah, PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim, berkata proses saringan ini dilakukan untuk memastikan setiap pelaburan yang dilakukan PNB terutama pelaburan oleh tabung unit amanah ASNB sentiasa patuh syariah dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelabur."

Beliau berkata, saringan Maqasid membolehkan PNB melabur dalam syarikat yang belum mendapat pematuhan syariah daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Saringan Maqasid itu merangkumi setiap aspek dengan penelitian yang menyeluruh dan mendapat kelulusan oleh Panel Penasihat Syariah PNB

Proses saringan Maqasid yang dilaksanakan PNB merangkumi dua tahap.

"Tahap yang pertama adalah melalui penilaian kepatuhan syariah daripada SC. Jika syarikat tersenarai itu diletakkan sebagai syariah oleh SC, jadi tiada masalah bagi PNB untuk melabur," katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya lagi Jika syarikat itu tidak mendapat status Syariah SC, tetapi adalah sektor strategik negara seperti institusi perbankan, maka PNB akan laksanakan proses saringan Maqasid.

Ahmad Basri berkata, proses saringan Maqasid dilakukan secara tiga peringkat iaitu yang pertama adalah mengenal pasti sektor strategik yang ingin dilabur.

Proses selepas itu ialah mengklasifikasikan syarikat kepada utama, teras dan dagangan dengan berdasarkan nilai pemarkahan mengikut kriteria yang ditetapkan.

Katanya lagi proses ketiga adalah proses penilaian berdasarkan lapan aspek pertimbangan yang ditetapkan oleh PNB.

PNB katanya akan menilai syarikat berkenaan berdasarkan aspek sama ada boleh atau tidak syarikat itu memberi peluang pekerjaan terutama kepada Bumiputera, kepakaran teknikal, keselamatan, teknologi, martabat Bumiputera, mampu membasmi kemiskinan rakyat, membantu membasmi kejahilan dan membantu dalam penjagaan dan kawalan penyakit.

"Ini penilaian yang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh PNB melabur di dalam Maybank, ia adalah institusi kewangan yang tidak disenaraikan sebagai patuh syariah oleh SC.

"Tetapi melalui penilaian Maqasid itu, kami melihat Maybank mempunyai majoriti pekerja Bumiputera. Ia mempunyai tanggungjawab sosial kepada rakyat dan negara, menjalankan perniagaan yang telus dan tidak dalam kategori yang meragukan serta mempunyai kepakaran tempatan," katanya.

Sejak PNB melabur di dalam Maybank, bank utama negara ini melaksanakan polisi produk Syariah didahulukan sehingga Maybank Islamik kini menjadi bank Islam terbesar yang berada pada kedudukan ke empat dunia.

Selain itu, pelaburan PNB dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga penting apabila kita melihat dari sudut keselamatan negara kerana syarikat itu adalah penjaga atau pintu utama untuk masuk ke negara ini.

Begitu juga dengan institusi media yang mana kita melihat kepada kepentingannya dalam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, memberi maklumat yang tepat dan pantas."

"Justeru, setiap penilaian ini akan dilakukan secara menyeluruh sebelum dibentangkan kepada Panel Penasihat Syariah PNB. Kami juga turut menyemak semula status pelaburan setiap tiga tahun sekali," katanya.

Ahmad Basri berkata, bagi penilaian pelaburan di luar negara pula, ketika ini semua pelaburan asing PNB adalah di dalam syarikat yang patuh syariah dan penilaian dibuat berdasarkan empat penilaian antarabangsa iaitu MSCI Inc. MSCI All-Countries World Islamic Index (MSCI ACWI Islamic), S&P Dow Jones – Dow Jones Islamic Market World Index, FTSE Russell – FTSE Shariah Global Equity Index dan S&P Shariah Index- S&P Global 1200 Shariah.

Tambah beliau berdasarkan kepada pendekatan berkenaan, pada masa ini 76.6 peratus pelaburan PNB adalah patuh Syariah mengikut tanda aras SC, manakala pelaburan selebihnya adalah patuh Syariah mengikut Saringan Maqasid Al-Syariah PNB.

PNB memegang mandat tersendiri yang diamanahkan oleh kerajaan dan bukan berteraskan keuntungan semata-mata, lantaran itu penting bagi pihaknya untuk melaksanakan pelaburan dalam syarikat berpotensi tinggi dan mengurusnya dengan cekap.

Proses saringan Maqasid juga katanya adalah inisiatif PNB sendiri mencerminkan komitmen dan iltizam PNB bagi memastikan setiap pelaburan yang dilaksanakan adalah mematuhi keperluan pelaburan dan prinsip Syariah.

"Kita akan meningkatkan pelaburan dalam syarikat patuh syariah pada masa hadapan. Kami menyedari kepentingan ini. Namun demi menjaga mandat dan memberikan pulangan yang terbaik kepada pelabur, kami perlu melaksanakan tanggungjawab kami dengan baik.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa semua negeri di Malaysia juga mengiktiraf pelaburan PNB sebagai 'harus'. Ramai juga yang menyatakan kenapa hanya 'harus'."

"Perlu dilihat semula, di dalam Islam hukum ini hanya ada lima iaitu harus, sunat, wajib, haram dan makruh. Adakah wajar jika diletakkan sebagai 'wajib'? Ini bermakna semua rakyat 'wajib' melabur dalam PNB. Juga tidak boleh dikatakan 'sunat'. Jadi istilah 'harus' ini adalah lebih tepat dalam konteks pelaburan.

"Penilaian penentuan hukum yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua negeri di Malaysia itu juga sudah menyeluruh, dibincangkan secara teliti dan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri dari kalangan Mufti dan tokoh ilmuan," katanya.

Berita Harian X