Isnin, 20 September 2021 | 5:20pm
Gambar hiasan. Bank Islam. - NSTP
Gambar hiasan. Bank Islam. - NSTP

Permintaan produk kewangan Islam kukuh - Moody's Investors

KUALA LUMPUR: Permintaan kukuh terhadap kewangan Islam yang semakin berkembang pantas berbanding dengan perbankan konvensional, akan mengimbangi sebahagian kesan daripada cabaran yang sedang dihadapi industri, menurut Moody's Investors Service.

Menurut nota penyelidikan pada Isnin, Moody's menjelaskan keuntungan bank-bank Islam terjejas ekoran kadar faedah rendah, persekitaran operasi yang masih suram di samping kos peruntukan yang tinggi Bank-bank Islam di negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Asia Selatan dan Asia Tenggara kini menumpukan kewangan runcit berisiko rendah, yang akan membantu melindungi kualiti aset masing-masing susulan pemulihan ekonomi di seluruh rantau berkenaan yang tidak sekata, menurutnya.

Penganalisis Moody's, Badis Shubailat berkata toleransi pengawalseliaan telah melindungi penyusutan jumlah pinjaman yang dicatatkan bank-bank, dan kos peruntukan yang tinggi pula akan terus mempengaruhi keberuntungan namun, modal dan penampan mudah tunai mereka sewajarnya menyerap kerugian yang tidak dijangkakan dengan selesa.

Beliau berkata pengukuhan dalam lingkungan pasaran perbankan Islam yang terasing memberikan peluang.

Selain itu, modal kawal selia bank-bank Islam kekal baik melebihi syarat minimum, katanya.

"Mudah tunai mereka juga teguh, menunjukkan pertumbuhan deposit memandangkan pelanggan mengurangkan perbelanjaan berikutan ketidaktentuan ekonomi.

"Bank-bank pusat di kebanyakan negara juga telah melonggarkan keperluan rizab dan terus menyediakan sokongan mudah tunai kepada bank-bank," katanya.

Shubailat berkata pasaran perbankan Islam utama telah mengukuh sejak tahun-tahun kebelakangan ini susulan sektor itu berusaha meningkatkan penjanaan perolehan di samping mengurangkan kos.

"Kami menjangkakan lebih banyak bank Islam melakukan penggabungan, khususnya bank-bank yang kecil digabungkan oleh pesaing yang besar," katanya.

Beliau berkata di rantau GCC, bank Islam dalam beberapa kes bergabung dengan bank konvensional.

Di Indonesia, kerajaannya menggabungkan bank Islam milik kerajaan pada 2020 untuk membantu mereka bersaing dengan bank-bank konvensional, katanya.

– Bernama

Berita Harian X