Jumaat, 20 Ogos 2021 | 6:38pm
H10 Series, lokomotif elektrik diesel pertama buatan Malaysia yang direka dan dihasilkan dengan kejuruteraan tempatan oleh SMH Rail
H10 Series, lokomotif elektrik diesel pertama buatan Malaysia yang direka dan dihasilkan dengan kejuruteraan tempatan oleh SMH Rail

H10 Series lokomotif buatan Malaysia pertama dieksport

KUALA LUMPUR: SMH Rail Sdn Bhd (SMH Rail), syarikat pengeluar dan penyedia perkhidmatan penyenggaraan kereta api yang terkemuka hari ini melancarkan H10 Series, lokomotif elektrik diesel pertama buatan Malaysia untuk pasaran eksport.

Pengerusi dan Pengarah Urusannya, Datuk P K Nara, berkata H10 Series yang dikeluarkan di dalam negara menonjolkan kepakaran Malaysia dalam pasaran kereta api, malah dibina dengan teknologi canggih untuk mengurangkan emisi.

Katanya, lokomotif H10 Series yang mesra alam itu akan membawa manfaat besar kepada ekosistem kenderaan rel dengan inovasi reka bentuk kejuruteraan yang akan menggalakkan operasi hijau.

"Kumpulan lokomotif pertama dalam siri ini akan dibekalkan kepada Tanzania Railways Corporation yang membuat tempahan berasaskan sokongan dana daripada Bank Dunia. Saya yakin bahawa lokomotif ini akan membawa manfaat ekonomi besar kepada industri kargo rel Afrika.

"Kami bertekad untuk membina penyelesaian inovatif dalam industri rel global. Dengan pengalaman industri menjangkau lebih 20 tahun, tumpuan kami adalah untuk terus menyediakan penyelesaian cemerlang kepada rakan niaga rel global dari segi kos, kecekapan dan kebolehpercayaan," katanya pada sesi maya pelancaran Lokomotif H10, hari ini.

Lokomotif H10 Series SMH Rail disenaraikan oleh Malaysia Book of Records sebagai 'Lokomotif Buatan Tempatan Pertama Untuk Dieksport'.

Menurut SMH Rail, lokomotif dwikabin itu mematuhi piawaian Kesatuan Antarabangsa Keretapi (UIC) yang direka untuk pengangkutan muatan berat dan perkhidmatan jarak jauh tanpa gangguan.

Salah satu daripada ciri utamanya ialah keupayaan beroperasi dalam persekitaran dan keadaan cuaca melampau, untuk jaminan prestasi tergabung dengan tahap kebolehpercayaan dan ketersediaan yang tinggi.

Lokomotif H10 Series dilengkapi dengan penyelesaian pemantauan dan diagnostik jarak jauh untuk menyediakan maklumat terkini dalam masa sebenar kepada pengendali rel.

Ia akan membolehkan pengendali rel memantau prestasi dari jarak jauh termasuk kelajuan, keperluan penyenggaraan, penggunaan bahan api dan pemberitahuan ralat.

Lokomotif itu turut menyokong analisis data yang menjejak pengendalian cuai, mengurangkan risiko kegagalan dan menambah baik keselamatan operasi.

Mengulas lanjut, Nara berkata, SMH Rail memberikan sumbangan penting untuk mentakrifkan semula industri pengangkutan demi menjamin kelestarian perkhidmatan rel dalam jangka panjang selaras dengan cogankata 'Towards Green Mobility', iaitu matlamat untuk mempelopori pengangkutan mesra alam.

"Lokomotif H10 Series berpotensi untuk menggantikan 100 trak kargo, mengurangkan emisi karbon sehingga 75 peratus, meringankan kesesakan lebuh raya yang secara purata menjimatkan bahan api sebanyak empat kali berbanding pengangkutan jalan raya dan fret.

"Reka bentuknya yang praktikal memastikan tahap kebolehpercayaan dan ketersediaan yang lebih tinggi untuk meningkatkan kecekapan operasi, dengan kapasiti muatan lebih tinggi dan mengurangkan masalah penyenggaraan untuk kos kendali lebih rendah sepanjang kitaran hayatnya," katanya.

SMH Rail adalah pengeluar dan penyedia perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi kereta api yang bertapak di lebih 20 negara.

Syarikat itu memiliki mempunyai pengalaman menjangkau lebih dua dekad menyediakan penyelesaian kejuruteraan rel kepada pengendali rel pada peringkat serantau dan global.

Ia beroperasi dari kemudahan pengeluaran kereta api bersepadu yang bertauliah antarabangsa di Rasa, Hulu Selangor dan mempunyai operasi serantau di beberapa pasaran di serata dunia.

Berita Harian X