Khamis, 12 Ogos 2021 | 6:45pm
Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)
Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)

GLIC komited penuhi mandat PERKUKUH

KUALA LUMPUR: Semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited memainkan peranan masing-masing di bawah Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH).

Langkah kerajaan memperkasakan kesemua GLIC itu juga bakal memberi impak yang besar kepada ekonomi negara di masa hadapan.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Arifin Zakaria, berkata pengurus dana terbesar di Malaysia itu akan memperuntukkan sumber yang besar untuk portfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan memastikan pelaburan PNB dapat beralih ke arah model dan amalan perniagaan mampan.

"Pulangan mampan jangka panjang hanya boleh diperoleh daripada amalan lestari. Kerjasama semua GLIC akan membawa impak positif ke atas pasaran modal dan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan.

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pula akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai dana kekayaan berdaulat dengan melabur untuk menghasilkan nilai yang mampan untuk rakyat.

"Khazanah akan memberi tumpuan pada pelaburan berimpak tinggi dan berdaya maju secara komersial untuk memangkin bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan daya saing ekonomi serta daya tahan negara disamping memacu hasil sosio-ekonomi keutamaan, seperti yang dihasratkan di bawah PERKUKUH," katanya.

Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, ia bersedia menjalin kerjasama erat dengan kerajaan dan rakan institusi bagi melaksanakan PERKUKUH.

"Pada masa yang sama, KWSP akan tetap fokus dalam memenuhi mandat untuk melindungi simpanan ahli untuk kesejahteraan masa depan mereka," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin pula berkata, PERKUKUH akan menjadi pemangkin kepada transformasi GLIC termasuk TH.

Beliau berkata, sejajar dengan keperluan semasa, usaha dan langkah perlu diambil bagi mendepani persekitaran global yang semakin kompetitif walaupun GLIC telah menjadi tonggak pembangunan ekonomi Malaysia sejak enam dekad yang lalu.

"Kini sudah tiba masanya untuk GLIC menerajui fasa transformasi baharu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Rahman, berkata pelaksanaan PERKUKUH adalah tepat pada masanya kerana ia selaras dengan usaha yang dimulakan LTAT.

Beliau berkata, LTAT dalam usaha meningkatkan kapasiti menjadi sebuah dana persaraan yang memberikan pulangan yang mampan dan berdaya saing untuk Angkatan Tentera Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Nik Amlizan Mohamed pula berkata, PERKUKUH akan meningkatkan daya tahan GLIC di masa hadapan.

"PERKUKUH akan memastikan dana kekayaan negara memiliki fokus pada mandat mereka untuk mendorong pelaburan di sektor pertumbuhan baharu," katanya.

Berita Harian X