Selasa, 27 Julai 2021 | 4:00pm
Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF)
Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF)

Majikan mahu ambil bahagian dalam MPN

KUALA LUMPIR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berharap dapat mengambil bahagian dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memastikan pandangan dan cadangan sektor swasta boleh dilihat dengan jelas.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata MEF sebagai wakil majikan sektor swasta terbesar di Malaysia, berharap dapat dibabitkan oleh MPN sebagai pihak berkepentingan majikan dalam mencartakan hala tuju Malaysia ke arah pemulihan sepenuhnya.

Beliau berkata, penubuhan portal awam MPN juga akan menjadi rujukan berguna kepada majikan dan orang ramai mengenai status Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini yang menimbulkan banyak kekeliruan sebelum ini.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam satu kenyataan pada 23 Julai menyatakan MPN bersetuju untuk mengundang wakil pihak pembangkang, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta pakar daripada pelbagai industri untuk menyertai majlis berkenaan.

Tengku Zafrul, yang juga Menteri Kewangan berkata, MPN akan memberikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan berterus terang melalui portal rasmi PPN yang dilancarkan semalam.

Sementara itu, mengenai dasar 'tidak berpatah balik' kerajaan berkaitan dengan PPN, Syed Hussain berkata kerajaan memberi jaminan kepada majikan bahawa mereka tidak akan kembali ke kawalan pergerakan pada masa akan datang, langkah positif bagi rakyat dan ekonomi serta pada masa yang sama mengelakkan kekeliruan dan halangan seterusnya.

Beliau berkata, MEF turut menantikan Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2022 untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan dari segi pertumbuhan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan menjangkakan banyak negeri akan berpindah ke Fasa Empat atau fasa terakhir PPN seawal bulan Oktober.

Beliau menambah, negeri-negeri yang berada di Fasa Dua PPN tidak akan kembali ke Fasa Satu, dan negeri-negeri yang telah beralih ke Fasa Tiga tidak akan kembali ke Fasa Dua kerana pendekatan PPN menekankan pada strategi keluar serta 'tidak berpatah balik'.

- BERNAMA

Berita Harian X