Isnin, 5 Julai 2021 | 11:25am
(Gambar fail) Ian Ho. - Foto: NSTP/ AZIAH AZMEE
(Gambar fail) Ian Ho. - Foto: NSTP/ AZIAH AZMEE

Shopee lancar Kempen Shop Malaysia Online

KUALA LUMPUR: Shopee melancarkan Kempen Shop Malaysia Online (SMO) untuk tahun kedua bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia melalui baucar diskaun, pulangan tunai dan subsidi penghantaran percuma.

Pada tahun lalu, kempen Ringgit-ke-Ringgit di Shopee itu telah memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta pembeli, menjana jualan bernilai lebih daripada RM540 juta untuk 80,000 penjual Malaysia di platform e-dagang berkenaan.

Mengulas mengenai prestasi kempen tahun lalu, Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata, kempen itu telah melahirkan pembeli dalam talian baharu yang secara puratanya telah membuat empat pembelian tambahan di Shopee dalam tempoh kempen terbabit, walaupun perintah kawalan pergerakan pada masa itu telah dilonggarkan.

Katanya, data itu menunjukkan bahawa selain memberi impak positif kepada kegiatan ekonomi, inisiatif ini telah berjaya memacu digitalisasi di Malaysia.

"Kami berasa sukacita untuk bersama-sama membiayai kempen ini sekali lagi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dan mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

""Fokus utama kami dari segi perniagaan adalah untuk memperkasakan komuniti dan penjual tempatan melalui pendekatan penyetempatan hiper atau 'hyper localised' dan membolehkan e-dagang untuk dinikmati oleh semua.

"Oleh itu, program seperti SMO adalah selaras dengan misi kami dan kami akan memberi komitmen dalam bentuk ringgit dan sen," katanya dalam kenyataan hari ini.

SMO adalah inisiatif e-dagang oleh Kementerian Kewangan (MoF), dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertujuan menggalakkan kempen itu dari sekarang hingga 31 Disember 2021.

Matlamat jangka pendek bagi SMO adalah untuk memacu penggunaan domestik manakala objektif jangka panjang pula adalah untuk membawa lebih ramai pengguna ke dalam talian dan menggalakkan pembeli supaya membuat pilihan menyokong penjual tempatan.

Demi membantu pihak kerajaan mencapai objektif-objektif ini, Shopee akan mengambil pendekatan serampang tiga mata bagi kempen SMO tahun ini, kata Ian.

Pertama katanya, Shopee akan memberi ganjaran menarik dalam bentuk baucar diskaun, pulangan tunai Syliling Shopee dan subsidi penghantaran percuma untuk pengguna Malaysia apabila mereka menyokong dan membeli daripada penjual tempatan yang memiliki label 'ShopMalaysia'.

"Kedua, Shopee akan berusaha untuk menarik pelanggan dan menjana aliran tunai kembali kepada peruncit luar talian seperti kedai makanan dan minuman, kedai serbaneka, farmasi dan banyak lagi melalui pulangan tunai dan diskaun sebanyak lebih daripada RM3.

"Ini boleh didapati di portal dalam aplikasi "Deals Near Me" apabila pengguna membeli Baucar ShopeePay serendah 1 sen dan menebusnya dengan ShopeePay," katanya.

Ketiga katanya, SMO pada tahun ini juga membabitkan sokongan tambahan kepada penjual tempatan untuk mengeksport barangan mereka dan menembusi pasaran baharu.

"Shopee akan melaksanakan usaha ini menerusi Shopee International Platform (SIP), sebuah inisiatif rentas sempadan hujung ke hujung yang merangkumi logistik, pembayaran serta perkhidmatan pelanggan untuk penjual tempatan tanpa kos tambahan.

"Bagi jenama dan penjual Malaysia yang telah pun berjaya menembusi pasaran luar negara melalui SIP, platform e-dagang tersebut akan menawarkan manfaat istimewa seperti baucar diskaun, baucar pulangan tunai Syiling Shopee dan rebat penghantaran percuma untuk pelanggan mereka," katanya.

Mengenai program eksport Shopee, Ian berkongsi bahawa ramai peruncit dan peniaga kecil di Malaysia telah menerima manfaat daripada kempen-kempen bertema yang dijalankan oleh Shopee di luar negara.

"Produk-produk Halal Malaysia, kopi dan juga alat ganti automotif amat popular di luar negara. Selain itu, jenama-jenama tempatan seperti Kluang Coffee, Elianware dan Fipper juga berjaya menarik minat warganegara Singapura melalui SIP.

"Oleh itu, kami berasa teruja bahawa MoF dan MDEC telah memuatkan elemen eksport dalam SMO tahun ini kerana kami percaya bahawa sokongan tambahan ini akan terus meningkatkan daya saing penjual tempatan.

"Kami juga akan terus menyokong inisiatif ini dengan memberi penekanan khusus untuk mempromosikan produk yang dihasilkan secara tempatan demi menghasilkan impak yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia," katanya.

Berita Harian X