Rabu, 2 Jun 2021 | 2:18pm
Bangunan Bank Negara Malaysia. - Foto: NSTP/YAZIT RAZALI.
Bangunan Bank Negara Malaysia. - Foto: NSTP/YAZIT RAZALI.

Peminjam kehilangan pekerjaan boleh pilih moratorium - BNM

KUALA LUMPUR: Peminjam individu yang kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara boleh memilih moratorium sebagai salah satu bentuk bantuan bayaran balik pinjaman dalam meringankan beban kewangan mereka, demikian kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat dalam ciapan di twitternya berkata, peminjam individu terjejas itu boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan bayaran balik pinjaman sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Ia juga menjelaskan, di bawah bantuan bayaran balik pinjaman terkini itu, peminjam B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) juga boleh memilih untuk mendapatkan moratorium selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan bayaran balik sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

"Semua peminjam yang terkesan pengurangan pendapatan termasuk gaji, elaun, komisen dan pendapatan isi rumah juga layak untuk pengurangan ansuran bulanan bayaran balik pinjaman mereka mengikut pengurangan pendapatan mereka," katanya.

Di samping itu, BNM berkata, perusahaan mikro yang mempunyai kemudahan dengan jumlah diluluskan sehingga RM150,000

dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh juga boleh memilih untuk mendapatkan moratorium selama tiga bulan atau pengurangan 50 peratus daripada bayaran ansuran bulanan selama enam bulan.

"(Peminjam terkesan) Hanya perlu menghubungi bank masing-masing dan buat pilihan," kata BNM.

Bank pusat itu berkata, bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan bayaran balik pinjaman boleh mengunjungi http://bnm.gov.my/RA.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai RM40 bilion baru-baru ini berkata, hasil perbincangan bersama BNM, industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

Beliau berkata, semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan ansuran bayaran balik sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

Berita Harian X