Rabu, 2 Jun 2021 | 1:21pm
(Gambar hiasan) - Foto: NSTP/AIZUDDIN SAAD
(Gambar hiasan) - Foto: NSTP/AIZUDDIN SAAD

Bank terus sediakan bantuan kewangan - Persatuan Bank

KUALA LUMPUR: Bank yang menjadi ahli Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) akan terus menawarkan bantuan kewangan kepada peminjam terkesan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang bermula 1 Jun 2021.

Ketika ini, bantuan kewangan daripada ahli persatuan itu adalah di bawah program Bantuan Bayaran Balik Bersasar (TRA) yang ditawarkan sejak 1 Oktober 2020, yang mana pelanggan individu yang kehilangan pekerjaan layak untuk memohon moratorium untuk tiga bulan atau pengurangan 50 peratus dalam bayan balik ansuran bulanan bagi tempoh enam bulan.

ABM berkata, peminjam yang berdepan pengurangan pendapatan termasuk pendapatan isi rumah adalah layak mendapat pengurangan ansuran bulanan yang setimpal.

Ia berkata, peminjam B40 yang berdaftar di bawah Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) adalah layak memilih bantuan pembayaran balik khusus itu.

Katanya, syarikat mikro dengan pinjaman kemudahan tidak melebihi RM150,000 juga boleh memilih bantuan pembayaran balik khusus berkenaan.

"Sebagai tambahan, ABM mengumumkan bahawa TRA kini diperluaskan kepada semua perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sekatan pergerakan penuh iaitu mereka yang tidak berada dalam senarai sektor dibenarkan beroperasi yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

"Semua peminjam yang terjejas (individu, perusahaan mikro dan PKS) yang ingin memanfaatkan TRA terbaru ini hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk memberitahu pilihan yang mereka mahukan. Bank akan secara automatik meluluskan semua pilihan oleh peminjam yang memenuhi kriteria seperti yang dinyatakan," katanya dalam satu kenyataan.

ABM juga menjelaskan, bagi semua peminjam lain yang terjejas, bank anggotanya juga mempunyai skim penjadualan dan penstrukturan semula khusus untuk membantu meringankan beban mereka.

Ia berkata, bank anggotanya juga telah mempermudahkan proses untuk TRA dan komited menjadikan ia lebih mudah bagi peminjam untuk memilih pakej bantuan yang mereka perlukan.

Jelasnya, dalam kebanyakan kes, peminjam harus dapat membuat pilihan secara dalam talian atau melalui telefon.

"Peminjam mungkin juga boleh melakukannya di cawangan bank, tetapi dinasihatkan untuk memeriksa di laman web bank masing-masing untuk maklumat mengenai sebarang perubahan pada waktu operasi atau pengaturan untuk perkhidmatan di kaunter memandangkan sekatan berterusan akibat pandemik.

"Peminjam boleh merujuk ke laman web bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat hubungan atau lawati laman web ABM, https://www.abm.org.my/assistance-for-eligible-borrowersaffected-by-covi...," katanya.

Seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), ABM berkata, peminjam yang mendapatkan TRA pada 2021 tidak akan terjejas oleh rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Oleh itu, katanya, peminjam tidak perlu bimbang kesannya terhadap profil kredit masa depan mereka.

"Justeru, ABM menyeru semua peminjam termasuk PKS yang terjejas oleh langkah pencegahan COVID-19 untuk tampil ke depan dan menghubungi bank mereka menerusi saluran rasmi bank bagi membincangkan pilihan terbaik yang ada," katanya.

Selain itu, ABM berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga bersedia untuk menyediakan nasihat dan panduan yang diperlukan kepada peminjam individu dan syarikat mikro, termasuk pilihan untuk penstrukturan semula hutang.

Selain menghubungi bank, persatuan itu berkata, perusahaan mikro juga dapat meminta bantuan melalui meja bantuan khusus untuk perniagaan mikro AKPK di www.akpk.org.my/microhelpdesk, yang mana meja bantuan maya itu memberikan nasihat kewangan percuma dan memudahkan permohonan bantuan pembayaran balik.

"Kami ingin mengingatkan peminjam agar berhati-hati dengan penipu dan hanya memohon apa-apa bantuan kewangan melalui saluran rasmi bank.

"Peminjam juga dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mengaku sebagai ejen/wakil bank yang berkaitan dengan bantuan pembayaran balik. Bank anggota kami tidak melantik atau membabitkan pihak ketiga atau ejen untuk tujuan bantuan pembayaran balik," katanya.

Sehingga 26 Mac 2021, bank telah menerima 1.6 juta permohonan untuk TRA, dengan 95 peratus telah diluluskan.

Berita Harian X