Isnin, 31 Mei 2021 | 9:59am
(Gambar fail) Komponen rokok elekronik Vape. - Foto: NSTP/Yazit Razali
(Gambar fail) Komponen rokok elekronik Vape. - Foto: NSTP/Yazit Razali

Produk cecair vape mesti dikawal selia

KUALA LUMPUR: Isu yang menjadi tumpuan industri vape di Malaysia sekarang berkisar mengenai mekanisme pelaksanaan, yang mereka dakwa 'masih kabur' daripada pihak berkuasa.

"Pada masa ini, produk vape masih tidak dikawal selia dan kami percaya sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan peraturan terhadap produk dan mengguna pakai dasar yang akan menggalakkan perokok bertukar kepada vape yang kurang mudarat," kata Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria.

Dewan Perniagaan Vape Malaysia pula pada pembentangan kajian ke atas Industri Vape Malaysia pada Disember 2020 menyatakan kerajaan berpotensi meraih sehingga RM0.3 bilion dari segi hasil cukai eksais pada tahun pertama pelaksanaan dasar berkenaan, jika cecair mengandungi nikotin dibenarkan, dari industri yang dianggarkan bernilai RM2.27 bilion setahun.

Pada April lalu, Datuk Adzwan Ab Manas, Presiden Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA) menganggarkan lebih 90 peratus cecair vape yang dibeli pengguna di Malaysia adalah mengandungi nikotin.

Malah, dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu beliau dipetik berkata, pihaknya menerima hampir tiada permintaan langsung bagi cecair vape tanpa nikotin.

Tidak seperti di United Kingdom dan Kesatuan Eropah, ramuan cecair vape yang dijual di Malaysia adalah tidak diselaraskan mengikut perundangan. Dalam erti kata lain – tidak selamat. Ini mencetuskan soalan lanjut, apakah industri vape negara akan menyokong jika kerajaan Malaysia melaksanakan peraturan sama dengan UK dan EU?

Daripada yang dapat diperhatikan, peserta industri vape menyuarakan kesanggupan, malah ada yang menyeru secara terbuka supaya diadakan segera peraturan.

Dianggarkan terdapat lebih daripada RM2 bilion cecair vape mengandungi nikotin yang dikategori 'tidak sah' iaitu tidak dibayar cukai dijual kepada pengguna setiap tahun.

Perundangan sedia ada Malaysia, mengklasifikasikan nikotin di bawah Racun Berjadual mengikut Akta Racun 1952. Hanya farmasi berlesen atau doktor boleh secara sah mengedarkan produk mengandungi nikotin, seperti tampalan nikotin yang direka bagi membantu perokok berhenti merokok.

Menurut kajian US National Academies of Sciences, Engineering, and Medicine 2018: "terdapat bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa secara sengaja atau tidak sengaja meminum atau memasukkan e-cecair boleh membawa maut.

Dalam satu artikel Nicotine poisin in e-cigarettes evidence yang disiarkan oleh akhbar The Guardian UK lagi jelas.

"E-rokok tidak mengandungi nikotin yang sama dengan yang anda jumpa di dalam daun tembakau biasa. Ia mengandungi nikotin cecair, yang boleh membawa maut: menurut doktor satu sudu cecair seumpamanya sudah cukup untuk membunuh orang dewasa; separuh sudu boleh membunuh kanak-kanak. Paling buruk, anda tidak perlu pun menghadam cecair ini untuk jadi sakit. Dengan sekadar bersentuh kulit dengan cecair nikotin pekat sudah cukup mendatangkan simpton keracunan, seperti pening kepala, naik tekanan darah dan sawan".

Selain mengandungi nikotin, semua cecair vape mengandungi propylene glycol (PG) sebagai pengantara untuk membawa ramuan perisa. Ia adalah bahan yang biasa digunakan di dalam penyediaan makanan dan dianggap selamat untuk dimakan. Namun PG dikaji berkemungkinan menyebabkan 'peningkatan risiko menyebabkan gangguan pernafasan dan imun pada kanak-kanak, seperti asma, demam alergi dan ekzema.'

Tumpuan ke atas nikotin menyebabkan penggubal dasar dan pentadbir terlepas pandang langkah meneliti dan mengendalikan bahaya yang berpunca daripada ramuan perisa yang tidak mengikut peraturan.

Semua perkara berbangkit di atas, adalah perkara yang perlu difikirkan sama oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berwenang lain supaya ada ketelusan dan ketetapan berdasarkan sains perubatan diguna pakai di dalam industri rokok Malaysia.

Tanpa peraturan sedemikian, pengguna cecair vape di Malaysia terus terdedah kepada risiko berjangka pendek dan panjang akibat ramuan berbahaya vape.

Misalnya, cecair vape mengandungi diacetyl (juga dikenali sebagai alpha-diketone, 2,3-butanedione Chemical Abstract Service No. 431-03-08), digunakan untuk menceraikan perisa mentega. Jika dihidu, diacetyl boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru selama-lamanya.

Penggunaan ramuan perisa mengandungi diacetyl adalah dilarang di United Kingdom susulan pengharaman oleh Kesatuan Eropah pada 2016. "Mereka bersependapat bahawa paras diacetyl di dalam e-roko adalah tidak selamat bagi pengguna di dalam bidang kuasanya."

Diacetyl pula satu daripada bahan kimia yang ada dalam ramuan perisa digunakan di dalam cecair vape. Atas sebab inilah, pengguna vape di Malaysia memerlukan undang-undang untuk melindungi mereka daripada bahan kimia berbahaya dalam cecair vape, sama ada ia mengandungi nikotin atau tidak.

Selagi tidak ada undang-undang khusus mengurus tadbir produk vape, pengguna di Malaysia berdepan dengan impak negatif berjangka panjang di dalam masyarakat kita akibat terdedah kepada bahaya bahan kimia berkenaan.

Adalah disarankan agar Kerajaan Malaysia, mencontohi UK, supaya mengadakan senarai ramuan terlarang di dalam cecair vape dan memastikan ia mempunyai keupayaan menganalisis cecair vape bagi mengesan ramuan terlarang serta diperkasa dengan kuasa untuk bertindak ke atas pihak yang tidak patuh.

Sementara masih menantikan dasar khusus mengenai cecair nikotin vape, peraturan seumpamanya boleh dilaksanakan kepada cecair vape tanpa nikotin, terlebih dahulu.

Seandainya dalam kesibukan mengendalikan pandemik COVID-19 ini kerajaan sempat mengkaji kerangka kerja bagi mengadakan peraturan ke atas cecair vape, diharap kerajaan mempertimbangkan juga untuk menubuhkan sebuah badan yang berperanan menganalisis, mengeluarkan persijilan dan menjejak kelulusan cecair vape yang dijual kepada orang ramai di Malaysia.

Berita Harian X