Ahad, 23 Mei 2021 | 12:19pm
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto fail Bloomberg
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto fail Bloomberg

Bank terus tawar bantuan bayar balik pinjaman

Institusi perbankan di negara ini masih menyediakan pelan bantuan bayaran balik pinjaman bagi membantu pelanggan yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Ia juga termasuk moratorium pinjaman yang diberikan kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan, demikian kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Justeru, bank pusat menasihatkan peminjam yang menghadapi kesukaran dalam membayar balik pinjaman mereka supaya menghubungi bank masing-masing untuk berbincang dan mendapatkan pakej bantuan yang bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka.

Ia berkata, sehingga 26 Mac 2021, institusi perbankan memproses 1.6 juta permohonan bantuan bayaran balik pinjaman, dengan kadar kelulusan 95 peratus.

"Untuk makluman, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas dengan bantuan yang diperoleh sepanjang tahun ini.

"Oleh itu, bagi peminjam yang menghadapi kesukaran, tidak perlu khuatir dan boleh terus menghubungi bank untuk berbincang mengenai pilihan yang dapat membantu mereka menguruskan hutang," kata BNM kepada BH.

Bank pusat itu berkata demikian bagi mengulas cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) yang meminta kerajaan mempertimbangkan moratorium secara bersasar selama 12 bulan mengikut kriteria ditetapkan.

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman dilaporkan berkata, moratorium itu perlu terhad kepada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga RM150,000 ke bawah, nilai hartanah bernilai RM1.5 juta ke bawah dan semua pinjaman bawah RM100,000 tanpa kenaikan kadar faedah.

Beliau berkata, moratorium itu perlu dibuat jika kerajaan tidak dapat melaksanakan moratorium enam bulan bermula Jun sehingga September 2021 membabitkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen, pinjaman kredit termasuk kad kredit.

Sementara itu, BNM berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan pihaknya juga membantu ramai peminjam menguruskan hutang mereka serta membuat tindakan susulan dengan bank peminjam.

Ia berkata, peminjam juga boleh mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan lanjut melalui pelbagai saluran yang disediakan, termasuk BNMTELELINK di talian 1300-88-5465 dan AKPK di talian 03-2616 7766.

Dalam pada itu, bank utama di negara ini, Maybank dan CIMB Group baru-baru ini mengesahkan komitmen mereka dengan menyediakan bantuan pembayaran balik pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang terkesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sementara itu, Moody's Investors Service dalam laporan analisisnya berkata, bank di Malaysia mempunyai kecairan yang kukuh dengan nisbah liputan kecairan sebanyak 147 peratus setakat Februari 2021, kekal tinggi melebihi keperluan minimum 100 peratus.

Katanya, bank di Malaysia dengan unjuran stabil A3 menerima manfaat daripada ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing dengan sumber asli yang banyak.

Berita Harian X