Khamis, 8 April 2021 | 12:49pm
Kualiti aset bank terbesar di Malaysia tetap kukuh berikutan tumpuan terhadap pinjaman runcit yang sebahagian besarnya terjamin
Kualiti aset bank terbesar di Malaysia tetap kukuh berikutan tumpuan terhadap pinjaman runcit yang sebahagian besarnya terjamin

Kualiti aset bank Malaysia terkukuh di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Kualiti aset bank terbesar di Malaysia lebih berdaya tahan terhadap gangguan ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19 berbanding bank serantau, demikian menurut Moody's Investors Service.

Ia membabitkan bank serantau yang setara seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand iaitu pasaran sedang pesat membangun yang utama di Asia Tenggara.

Ketahanan ini, berserta penampan modal dan mudah tunai yang kuat, akan membolehkan bank-bank Malaysia memperoleh kembali keuntungan dengan lebih cepat berbanding rakan serantau yang lain.

"Walaupun berlakunya kejutan ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik, kualiti aset bank-bank terbesar di Malaysia tetap kukuh berikutan tumpuan utama terhadap pinjaman runcit yang sebahagian besarnya terjamin, dikawal selia dengan baik serta disokong oleh aset kewangan yang melimpah," kata penganalisis Moody's, Tengfu Li.

Bank-bank terbesar di Malaysia mempunyai bahagian pinjaman terkecil di bawah program bantuan peraturan berbanding rakan serantau, yang kebanyakannya adalah gadai janji dan pinjaman automatik yang bercagar, katanya.

Sebaliknya, pinjaman yang dilindungi oleh langkah sokongan pengawalseliaan di negara lain adalah pinjaman yang khususnya terdedah kepada perniagaan yang mengalami aliran tunai langsung dan tidak memberikan jaminan atau cagaran.

Kualiti aset yang lebih kuat ini akan membantu bank-bank Malaysia mendapatkan semula keuntungan lebih cepat daripada bank setaranya kerana risiko aset yang lebih rendah akan menyelamatkan mereka keperluan untuk mengekalkan peruntukan setinggi berbanding dengan yang lain.

Lebih-lebih lagi, penampan modal dan kecairan bank, walaupun tidak setinggi dengan bank setaranya, masih kuat dan cukup untuk menampung kemungkinan terhadap sebarang tekanan kewangan, tegasnya.

-BERNAMA

Berita Harian X