Isnin, 5 April 2021 | 4:24pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - Foto arkib NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - Foto arkib NSTP

RMKe-12 terima permohonan peruntukan RM900 bilion

PETALING JAYA: Kerajaan menerima permohonan peruntukan kewangan berjumlah RM900 bilion bagi melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menjelaskan, permohonan untuk pelan pembangunan lima tahun negara yang diterima daripada kementerian, kerajaan negeri dan agensi itu lebih tinggi berbanding RMKe-11 berikutan situasi semasa akibat COVID-19.

Katanya, untuk tahun ini saja, kerajaan memperuntukkan RM69 bilion daripada RMKe-12, iaitu antara jumlah tertinggi bagi peruntukan setahun dengan kebanyakan disalurkan kepada sektor kesihatan.

"Semua memahami bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menangani COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi. Jadi, kebanyakan sumber disalurkan untuk langkah memerangi pandemik kerana bagi kerajaan nyawa rakyat adalah sangat penting.

"Justeru, melihat kepada keperluan semasa, kerajaan akan melihat secara menyeluruh permohonan daripada kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan kerana keutamaan kita ketika ini adalah melawan pandemik," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung proses pemulihan ekonomi negara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, dua keutamaan yang menjadi pertimbangan kerajaan daripada peruntukan berjumlah RM69 bilion tahun ini adalah vaksin dan memastikan rakyat memiliki wang untuk menyara kehidupan sekeluarga.

"Keutamaan pertama yang menjadi perhatian kerajaan adalah vaksin dengan jumlah perbelanjaan yang besar. Ia menjadi keutamaan pertama kerajaan.

"Keutamaan kedua adalah memastikan rakyat Malaysia memiliki wang untuk menampung kehidupan. Kerajaan perlu membantu golongan yang memerlukan selepas pendapatan mereka terjejas akibat pandemik," katanya.

Pada 2015, kerajaan memperuntukkan siling perbelanjaan pembangunan RM260 bilion bagi pelaksanaan RMKe-11 dari 2016 hingga 2020, di mana angka itu meningkat berbanding peruntukan RMKe-10 iaitu sebanyak RM230 bilion.

Bagaimanapun, dalam dalam laporan tempoh sederhana RMKe-11, kerajaan melaporkan peruntukan pelaksanaan berkurangan kepada RM220 bilion.

Dalam RMKe-11, peruntukan yang disalurkan itu adalah untuk memastikan sumbangan signifikan berterusan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, menerusi RMKe-12 pula, kerajaan akan memberi tumpuan kepada sektor ekonomi baharu dan industri bernilai tinggi yang mampu mencipta peluang ekonomi kepada rakyat.

Sebelum ini, Mustapa menjelaskan, beberapa sektor ekonomi baharu akan dikenal pasti dalam RMKe-12 bagi memacu ekonomi negara ke depan.

Beliau berkata, tumpuan itu adalah bagi mempercepatkan pembangunan industri berpotensi tinggi antaranya aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih maju, halal, industri kreatif, biomas dan pertanian pintar.

Katanya, industri terbabit dikenal pasti berdasarkan prospeknya dalam menjana aktiviti dan produk bernilai tambah tinggi, penggunaan teknologi canggih, pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan inovasi, pekerjaan berkemahiran tinggi serta sumbangan dalam mencapai agenda hijau.

Rancangan lima tahun Malaysia itu juga adalah rangka strategi dan inisiatif utama yang akan dijadikan sebagai prinsip panduan untuk dasar ekonomi Malaysia bagi lima tahun akan datang dari 2021-2025.

RMKe-12 juga akan diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) berserta dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ia termasuk membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan merapatkan jurang wilayah, termasuk perbezaan jurang pembangunan infrastruktur, akan diberikan keutamaan paling tinggi sewaktu tempoh 2021-2030.

Baru-baru ini, Mustapa berkata, RMKe-12 sudah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan sebaik Parlimen dibenarkan bersidang nanti.

Beliau menjelaskan, ia bagaimanapun akan dikemas kini dari semasa ke semasa, termasuk dari segi angka dan strategi.

"RMKe-12 sudah siap sebenarnya tetapi disebabkan pandemik (COVID-19), menuntut kami untuk melihat semula beberapa strategi serta angka dan proses ini berjalan secara berterusan.

"Sebaik Parlimen bersidang atau kerajaan minta bentang, kita siap sedia," katanya.

Berita Harian X