Selasa, 9 Februari 2021 | 2:34pm
MEDAC sentiasa komited membantu usahawan PKS mikro serta usahawan informal di pelbagai peringkat
MEDAC sentiasa komited membantu usahawan PKS mikro serta usahawan informal di pelbagai peringkat

MPKN jadikan Malaysia negara keusahawanan unggul

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin penubuhan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) akan menjadi pemangkin untuk mencapai aspirasi menjadi negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata selaras itu juga, sasaran peningkatan sumbangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 50 peratus berbanding 38.9 peratus ketika ini juga akan dapat dicapai.

Beliau berkata, MPKN akan bertindak sebagai platform perhubungan di antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan.

Katanya, MPKN akan menyelaraskan dasar dan halaju pembangunan keusahawanan, menetapkan skop kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri.

"Ia juga akan memperakukan langkah serta inisiatif strategik bagi menangani isu, cabaran dan halangan yang dihadapi oleh usahawan di pelbagai peringkat secara holistik dan bersepadu.

"Penubuhan MPKN tepat pada waktunya berdasarkan situasi semasa negara dalam memulihkan ekonomi akibat pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi berkata, MEDAC sentiasa komited membantu usahawan PKS mikro serta usahawan informal dan koperasi di pelbagai peringkat untuk meningkatkan daya saing serta keupayaan mendepani cabaran ekonomi yang getir ini.

Katanya, MEDAC melalui MPKN akan mengenal pasti langkah-langkah yang strategik dan proaktif untuk menangani isu, masalah serta cabaran dihadapi usahawan.

"Kita juga akan menyelaras pelaksanaan inisiatif keusahawanan di peringkat persekutuan dan negeri agar seiring dengan dasar serta perancangan sosioekonomi semasa negara.

"Ia akan memberi impak kepada ekosistem keusahawanan yang lebih holistik dan inklusif," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, platform MPKN akan digunakan oleh MEDAC untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan dan situasi sebenar usahawan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, ini termasuklah maklumat dan data mengenai usahawan informal yang berjumlah lebih satu juta pada ketika ini.

"Maklumat ini akan membantu MEDAC merangka perancangan dan intervensi berdasarkan keperluan sebenar usahawan di samping memastikan tiada pertindihan bantuan, sekali gus menggalakkan pengoptimuman sumber dan perbelanjaan berhemah," katanya.

Beliau berkata, MEDAC pada tahun ini juga akan melaksanakan pelbagai program dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 bilion yang akan memberi manfaat kepada usahawan dan bakal usahawan.

"Ia merangkumi program pembiayaan, diskaun sewaan, program pembangunan kapasiti dan latihan, pendigitalan dan

adaptasi teknologi, akses kepada pasaran serta moratorium serta bantuan bersasar bagi membantu usahawan mengadaptasi normal baharu perniagaan," katanya.

Berita Harian X