Selasa, 2 Februari 2021 | 1:46pm
Perbadanan Nasional Bhd (PNS)
Perbadanan Nasional Bhd (PNS)

PNS sasar wujud 18,000 peluang kerja

KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyasar untuk mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan baharu dan menyumbang sehingga RM4.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah strategi lima tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata menerusi strategi itu, PNS menyasar untuk mengembangkan portfolio francaisnya sehingga 400 peratus kepada RM700 juta berbanding RM178 juta ketika ini.

Beliau berkata, ia mampu dicapai bersandarkan sasarannya untuk meluluskan 5,000 pembiayaan kepada usahawan.

"Bagi mencapai hasrat ini, PNS akan mewujudkan ekosistem francais yang lebih berkesan dengan rantaian nilai yang menyeluruh disokong oleh teknologi digital di samping memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi golongan Bumiputera melalui bidang keusahawanan," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi berkata, keusahawanan francais mampu membantu usahawan Bumiputera meningkatkan tahap sosio-ekonomi khususnya melalui Program 'Business-In-Transformation (BIT)' yang menggalakkan usahawan mengembangkan perniagaan melalui francais.

"Sejak 2005, PNS sudah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM463 juta kepada 2,529 usahawan.

"Kerjasama di antara MEDAC dan PNS membuktikan pihak kementerian dan agensi komited mewujudkan rangkaian kerjasama bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mengadaptasi konsep perniagaan seperti ini.

"Langkah ini dilihat mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam kalangan entiti Bumiputera untuk meneroka bidang keusahawanan francais," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin Abd Shukor, berkata industri francais tempatan mempunyai potensi yang besar untuk diteroka.

Beliau berkata, usahawan khususnya mikro perlu berani mengambil langkah proaktif untuk menceburi industri francais terutama dalam mengadaptasi digitalisasi.

Selain itu, katanya, Program BIT memfokuskan pembangunan perniagaan mikro bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui francais.

"Program BIT dapat membantu usahawan mikro berpotensi untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan industri francais khususnya pasca COVID-19.

"Untuk tahun ini, PNS bakal melancarkan dua inisiatif baharu iaitu 'Projek Xcelerator' dan 'Projek Be Your Own Boss (BYOB)' yang menyasarkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi," katanya.

Beliau berkata, PNS memperuntukkan sebanyak RM35 juta untuk projek ini yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dengan memperkukuhkan lagi penyertaan usahawan Bumiputera, belia, wanita dan siswazah.

Katanya, ia menawarkan panduan dan latihan komprehensif, pembiayaan serta akses kepada pasaran semasa.

PNS sudah membantupelbagai jenama francais tempatan seperti Genius Aulad, Marrybrown, Menara Optometry, Asam Pedas Premier, Tealive, Smart Reader, MD Putu Bambu World membabitkan 157 cawangan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM30.5 juta.

Berita Harian X