Khamis, 21 Januari 2021 | 8:32pm
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

SC perluas Skim Sukuk SRI, Geran Bon

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperluaskan Skim Geran Sukuk Hijau SRI bagi menggalakkan lebih banyak syarikat membiayai projek hijau, sosial dan kemampanan menerusi sukuk dan penerbitan bon Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).

Dengan perluasan ini, geran itu kini dinamakan semula sebagai Sukuk SRI dan Skim Geran Bon dan boleh diguna pakai untuk semua sukuk yang diterbitkan di bawah Rangka Kerja SRI SC atau bon yang diterbitkan di bawah Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN (Piawaian ASEAN).

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar, berkata skim itu yang ditadbir oleh Capital Markets Malaysia kini dibuka untuk permohonan dan penerbit yang layak boleh memohon geran itu untuk mengimbangi sehingga 90 peratus daripada kos semakan luar yang ditanggung, tertakluk kepada had maksimum sebanyak RM300,000 bagi setiap terbitan.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, pengecualian cukai pendapatan diberikan kepada penerima Skim Sukuk SRI dan Geran Bon bagi tempoh lima tahun sehingga 2025.

Skim Geran Sukuk Hijau SRI diwujudkan pada 2018 dengan saiz berjumlah RM6 juta bagi membantu penerbit dengan menanggung sehingga 90 peratus daripada kos semakan luar bagi sukuk SRI hijau.

Setakat ini, ia telah memberi manfaat kepada lapan penerbit yang terlibat dalam projek tenaga boleh baharu, bangunan hijau dan projek kemampanan.

"Sebagai peneraju serantau dalam pelaburan mampan dan bertanggungjawab, pasaran modal Malaysia menawarkan akses pembiayaan projek mampan yang efisien dan dipercayai kepada syarikat yang boleh memberikan sumbangan positif terhadap persekitaran dan masyarakat, sejajar dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan agenda perubahan iklim" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Diiktiraf sebagai perintis dalam kewangan Islam dan baru-baru ini bagi penawaran sukuk mesra iklim, Malaysia merangkumi 19 peratus daripada sukuk dan bon yang diterbitkan di bawah Piawaian ASEAN.

Pada Disember 2020, RM5.4 bilion sukuk SRI telah diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI, di mana 58 peratus atau RM3.1 bilion juga telah diiktiraf di bawah Piawaian ASEAN, dan RM635 juta bon lagi diterbitkan di bawah Piawaian ASEAN.

"Ini menunjukkan terdapat permintaan terhadap kelas aset yang memenuhi kriteria Syariah serta pelaburan mampan dan bertanggungjawab," katanya.

–BERNAMA

Berita Harian X