Isnin, 4 Januari 2021 | 4:37pm
Syarikat perlu kekal berdaya saing dan meneroka pertumbuhan perniagaan baharu pada tahun ini - Foto hiasan
Syarikat perlu kekal berdaya saing dan meneroka pertumbuhan perniagaan baharu pada tahun ini - Foto hiasan

Pekerja mahir teknologi dapat permintaan tinggi

 

KUALA LUMPUR: Sektor pekerjaan dalam industri yang disokong teknologi seperti e-dagang, teknologi kewangan (fintech), logistik & rantaian bekalan, pembuatan, penyelidikan & pembangunan (R&D) selain teknologi perubatan dan bioteknologi akan terus berkembang kukuh tahun ini.

 

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass, berkata ketersediaan teknologi organisasi yang menjadi aspek tumpuan kritikal pada tahun lalu, dijangka berterusan bagi tahun-tahun akan datang, sekali gus bakal membentuk pekerjaan dan permintaan kepada bakat tempatan tahun ini.

 

"Akan wujud permintaan terhadap bakat berkemahiran tinggi termasuk dalam aspek internet untuk segalanya (IoT), pembangunan perisian, perkomputeran awam, kecerdasan buatan (AI), teknologi blockchain, robotik, migrasi projek dan perubahan pengurusan.

 

"COVID-19 dijangka terus memberi impak kepada perniagan serta tahap keyakinan pengguna dan pertumbuhan Malaysia juga akan bergantung kepada kedua-dua faktor iaitu pemulihan global dan prestasi pasaran domestik.

 

"Dengan perubahan dan inovasi yang berterusan, syarikat perlu kekal berdaya saing dan meneroka pertumbuhan perniagaan baharu pada tahun ini," katanya dalam laporan Unjuran Pasaran dan Penggajian 2021.

Randstad adalah agensi pengambilan pekerja global yang menyediakan perkhidmatan termasuk padanan pekerjaan.

 

Dass berkata, memandangkan pengambilan agensi bakat global memberi tumpuan kukuh kepada pasaran tempatan, adalah penting bagi Malaysia mula mencipta pekerjaan bagi membolehkan negara mencapai pemulihan dan pertumbuhan bersama.

 

Katanya, bagi meningkatkan peranan teknologi yang semakin meningkat, wujud keperluan untuk kemahiran digital dalam semua aspek fungsi organisasi termasuk kewangan dan perakaunan, sumber manusia, jualan dan pemasaran, penyelidikan dan pembangunan serta risiko dan pematuhan.

 

"Pengangguran berstruktur negara dan penstrukturan semula perniagaan domestik menyebabkan peningkatan kadar pengangguran. Bagaimanapun, kita melihat peluang yang penting sering wujud dalam masa-masa penuh mencabar ini," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata selaras dengan unjuran organisasi itu berhubung pertumbuhan pasaran, bakat berpengalaman dalam keselamatan siber, pengembangan aplikasi dan pemasaran digital adalah sangat diperlukan tahun ini.

 

"Walaupun objektif pekerjaan sama, caranya berfungsi sangat berbeza dari masa lalu. Sebagai contoh, pegawai pengalaman pelanggan kini diminta untuk merancang aliran sembang dan mengembangkan kandungan untuk 'chatbots' dan bukannya berinteraksi dengan pelanggan sendiri.

 

"Banyak majikan mencari calon yang memiliki kemahiran komunikasi yang terbaik (dalam semua peranan teknologi). Ini adalah keperluan yang semakin meningkat bagi ahli teknologi untuk menyampaikan kemajuan, keperluan dan hasil yang berkesan terhadap perniagaan, pengurusan kanan serta pelabur," katanya.

Berita Harian X