Khamis, 17 Disember 2020 | 12:52pm
(Gambar hiasan) Foto: NSTP/Yazit Razali
(Gambar hiasan) Foto: NSTP/Yazit Razali

Duti eksais cecair vape bernikotin wajar dikenakan - DPVM

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mengenakan duti eksais untuk cecair atau gel peranti rokok elektrik yang mengandungi nikotin serta memperkenalkan peraturan kepada industri itu dengan kadar segera.

Presiden Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Syed Azaudin Syed Ahmad, berkata peraturan dalam mengawal selia standard produk cecair vape yang mengandungi nikotin juga perlu diperkenalkan segera.

Beliau berkata, langkah percukaian dan peraturan seharusnya holistik dengan mengambil kira situasi semasa dalam pasaran.

"Di dalam pasaran tempatan, lebih daripada 97 peratus cecair peranti itu yang dijual mengandungi nikotin sama seperti negara lain. Namun percukaian dan peraturan masih tidak dibuat di Malaysia untuk merangkumi cecair yang mengandungi nikotin.

"Industri ini di Malaysia bukannya kecil dan telah wujudnya satu ekosistem kukuh yang merangkumi pengeluar, pengimport, pekedai serta pengguna.

"Ini adalah satu fakta yang tidak boleh diabaikan. Oleh itu, percukaian serta peraturan yang holistik termasuk standard produk dan kepenggunaan cecair yang mengandungi nikotin perlu dibuat dengan segera oleh kerajaan" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini mengumumkan duti eksais untuk peranti rokok elektrik dan bukan elektronik, selain cecair atau gel untuk peranti berkenaan yang akan mula dikuatkuasakan 1 Januari depan.

Ini adalah rentetan daripada pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang menyatakan duti eksais akan dikenakan ke atas peranti rokok elektronik, peranti rokok bukan elektronik dan cecair atau gel rokok elektronik termasuk cecair atau gel vape tanpa nikotin.

Syed Azaudin berkata, sekiranya percukaian ini diteruskan hanya untuk cecair tanpa nikotin, langkah itu tidak akan mendatangkan hasil kerana percukaian tersebut tidak mengambil kira keperluan industri dan pengguna.

Beliau berkata, ketika ini dianggarkan terdapat lebih 3,000 perniagaan berkaitan peranti rokok dengan kebanyakannya adalah usahawan Bumiputera, manakala 25,000 orang bekerja dalam industri ini.

DPVM juga katanya menganggarkan industri rokok elektrik di Malaysia bernilai lebih daripada RM2 bilion setahun.

"Banyak negara lain sudah memperkenalkan peraturan untuk industri ini termasuk mengawal standard produk dan kepenggunaan cecair yang mengandungi nikotin.

"Kami memohon agar kerajaan menilai semua faktor-faktor ini dan membuat suatu peraturan serta percukaian yang menyeluruh ke atas industri rokok elektrik," katanya.

Berita Harian X