X
Isnin, 23 November 2020 | 7:29pm
Gambar fail. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto: NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar fail. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto: NSTP/AIZUDDIN SAAD

PKS: Sasaran 50 peratus sumbangan KDNK mampu dicapai

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin sasaran 50 peratus sumbangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu dicapai menjelang 2030, berbanding 38 peratus ketika ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030) selain kerjasama dengan kementerian lain yang berkaitan.

"Keyakinan itu juga berdasarkan peningkatan sebanyak 82,555 perniagaan baharu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tempoh 1 April hingga 19 Julai, 2020," katanya kepada media di sini, hari ini.

DKN 2030 dilancarkan pada 11 Julai, 2019 dan menjadi panduan untuk menyediakan kerangka atau ekosistem holistik untuk pembangunan keusahawanan di Malaysia yang kian berkembang pesat.

Mengulas impak COVID-19 terhadap sasaran itu, beliau tidak melihatnya sebagai halangan selagi semua pihak memainkan peranan dalam menjayakan matlamat berkenaan.

"Dasar itu dirangka sebelum COVID-19 berlaku. Apabila ia melanda negara, ini hanya menguatkan lagi tekad MEDAC untuk memastikan hasrat itu dapat dicapai.

"Saya yakin dalam tempoh 10 tahun lagi, kita boleh mencapainya menerusi kerjasama dengan kementerian lain," katanya.

Selain PKS, Wan Junaidi berkata, MEDAC juga menyasarkan agar 14,625 koperasi di seluruh negara dapat menyumbang sehingga RM100 bilion kepada KDNK pada 2030 berbanding RM40 bilion ketika ini.

Katanya, ia boleh dicapai menerusi Transformasi Koperasi 2020 yang telah diluluskan oleh kerajaan pada dua minggu lalu.

"Di bawah Transformasi Koperasi 2020, kita mahu 80 peratus ahli koperasi yang kini di bawah kategori B40 dapat bangkit dan berubah kepada M40 atau lebih lagi dengan manfaatnya dapat dikongsi bersama," katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi juga berharap agar Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu dapat diluluskan di Dewan Rakyat memandangkan terdapat lebih 900,000 usahawan PKS dan mikro yang memerlukan bantuan dalam keadaan mencabar pada masa ini.

"Sebanyak 48 peratus PKS ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Walaupun terjejas, peruntukan pembiayaan yang disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2021 dapat membantu mereka untuk mengekalkan perniagaan masing-masing," katanya.

-- Bernama

Berita Harian X