Jumaat, 13 November 2020 | 1:25pm
Gambar fail. Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - Foto: BERNAMA
Gambar fail. Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - Foto: BERNAMA

Moratorium: Bantuan tetap diberi kepada individu, perniagaan yang memerlukan

KUALA LUMPUR: Individu dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 akan menerima bantuan, demikian tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau sama sekali menafikan salah tanggapan mengenai bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.

"Salah tanggapan umum ialah tanpa moratorium menyeluruh, peminjam yang dalam kesusahan tidak akan menerima bantuan (sebaliknya) bantuan itu adalah untuk semua yang terjejas akibat pandemik itu termasuk lanjutan moratorium," katanya.

Mereka yang kehilangan pekerjaan terutamanya dalam sektor pelancongan telah menerima moratorium menyeluruh selama tiga bulan dan lanjutan akan diberikan sekiranya mereka menganggur.

Beliau berkata bantuan itu dikekalkan untuk mereka yang memerlukan dan peminjam mempunyai pilihan kepada lebih banyak penyelesaian khusus untuk disesuaikan mengikut keperluan kewangan mereka.

"Satu lagi salah tanggapan umum ialah mereka memerlukan terlalu banyak dokumen. Bukan begitu. Bagi golongan B40, bank mempunyai akses kepada penerima BSH (Bantuan Sara Hidup) dan BPR (Bantuan Prihatin Rakyat). Oleh itu, bank dapat mengenal pasti (mereka)," katanya.

Perusahaan mikro tidak perlu menyerahkan sebarang dokumen dan hanya dokumen minimum diperlukan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membantu bank memberi nasihat bersesuaian kepada peminjam.

Setakat ini, seramai 640,000 permohonan bantuan telah diterima dengan kadar kelulusan 98 peratus dengan 40 peratus menerima lanjutan moratorium, manakala 60 peratus lagi mendapat pengurangan ansuran.

Beliau turut menegaskan bahawa permohonan bagi semua bantuan bayaran balik pinjaman bersasar sebelum 30 Jun 2021 tidak akan terpapar dalam rekod CCRIS peminjam.

Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah pangkalan data berpusat yang memberi gambaran kepada keadaan kewangan individu.

"Sekiranya mereka tidak berpuas hati terhadap apa-apa sahaja, mereka boleh sentiasa membuat aduan kepada Bank Negara. Saya boleh memberi jaminan bahawa Bank Negara bertindak terhadap setiap aduan yang diterima," kata Nor Shamsiah.

Ketika ditanya sama ada moratorium menyeluruh itu adalah satu kesilapan dan langkah moratorium bersasar sepatutnya diambil sejak awal lagi, beliau berkata: "Tidak. Pada masa itu, itulah keputusan yang tepat memandangkan semua perkara terhenti sepenuhnya.

"Oleh itu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah tepat untuk melaksanakan penilaian yang lebih meluas dan menyediakan bantuan serta-merta dari segi moratorium menyeluruh kepada semua isi rumah dan peminjam PKS.

"Ketika ekonomi anda menguncup hampir 30 peratus, itu adalah dasar yang tepat untuk meredakan kebimbangan yang sentiasa ada dalam ekonomi," katanya.

Ekonomi Malaysia merosot sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020 susulan pelaksanaan sekatan perjalanan keluar masuk di negara ini dengan mekanisme penguatkuasaan yang tegas untuk membendung penyebaran COVID-19.

Impak sekatan perjalanan keluar masuk itu dirasakan pada April 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun 28.6 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, kini semuanya telah meningkat semula.

Selepas PKP, sebahagiannya telah mula pulih dan dibayar semula.

"Jadi, wujud pemulihan, tetapi ada yang masih memerlukan (seperti sektor pelancongan) dan mereka menerima bantuan yang diperlukan dari segi bantuan bersasar," katanya.

Beliau berkata mengimbangkan keperluan pihak berkepentingan yang berbeza adalah kritikal dan peminjam perlu diberikan pilihan mengikut keadaan individu.

"Ramai peminjam telah mula membuat bayaran balik sebelum moratorium ditamatkan," kata Nor Shamsiah.

Beliau berkata 89 peratus daripada peminjam PKS telah mula melunaskan bayaran balik pada September 2020 berbanding suku pertama tahun ini, manakala 73 peratus pula bagi isi rumah. – BERNAMA

Berita Harian X