Jumaat, 6 November 2020 | 5:12pm
industri perbankan Islam berkembang dengan jumlah aset bernilai RM1.038 trilion - Foto hiasan
industri perbankan Islam berkembang dengan jumlah aset bernilai RM1.038 trilion - Foto hiasan

Prospek pasaran modal Islam kekal menggalakkan

KUALA LUMPUR: Prospek Pasaran Modal Islam (ICM) kekal menggalakkan meskipun berdepan suasana ekonomi yang mencabar, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, permintaan terhadap produk patuh Syariah dijangka bertambah kukuh pada masa akan datang, disokong oleh daya tarikan produk kepada kumpulan pelabur yang lebih luas.

"Promosi berterusan produk patuh Syariah dan pendigitalan perkhidmatan akan menjadi pemangkin kepada negara untuk menjadi pusat antarabangsa tersohor bagi perkhidmatan kewangan Islam," katanya.

Menurut laporan itu, industri perbankan Islam berkembang dengan jumlah aset bernilai RM1.038 trilion dan bahagian pasaran sebanyak 33 peratus pada akhir Julai 2020.

Sementara itu, katanya jumlah pembiayaan Islam terkumpul meningkat 10 peratus kepada RM787.8 bilion.

"Peningkatan ini terutama disumbangkan oleh pembiayaan sektor isi rumah yang meningkat 8.7 peratus kepada RM490.9 bilion, khususnya bagi pembelian hartanah kediaman," katanya.

Katanya, pembiayaan Islam dijangka terus berkembang disokong oleh pemulihan aktiviti ekonomi dan promosi berterusan produk patuh Syariah.

ICM akan terus berkembang dengan Malaysia adalah antara penerbit sukuk dan ekuiti Islam terbesar di dunia, katanya.

Menurut laporan itu, pada akhir Julai 2020, saiz ICM domestik bernilai RM2.2 trilion dan menyumbang 66.2 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran Malaysia sebanyak RM3.3 trilion.

"Sementara itu, terbitan sukuk berjumlah RM130.8 bilion atau 60.2 peratus daripada jumlah bon yang diterbitkan.

"Sukuk terkumpul bernilai RM986.9 bilion atau 62.6 peratus daripada jumlah bon terkumpul," katanya.

Walaupun Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar sukuk terkumpul global iaitu 45.6 peratus pada akhir Jun 2020, namun pergolakan yang berlaku dalam pasaran global telah mempengaruhi prestasi ICM.

"Perkara ini dapat dilihat menerusi kelembapan prestasi terbitan sukuk korporat semasa fasa awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun demikian, pembukaan semula hampir kesemua sektor ekonomi pada pertengahan tahun telah meningkatkan prestasi terbitan sukuk korporat," katanya.

Bursa Malaysia terus mempromosikan produk sekuriti patuh Syariah. Pada akhir Julai 2020, sebanyak 716 atau 76.8 peratus daripada 932 syarikat yang tersenarai dikategorikan patuh Syariah.

Permodalan pasaran ekuiti patuh Syariah bernilai RM1.18 trilion atau 69.5 peratus daripada jumlah permodalan pasaran.

-BERNAMA

Berita Harian X