Isnin, 2 November 2020 | 11:01am
Peniaga mikro terjejas semasa pandemik COVID-19 melanda negara - NSTP/Rohanis Shukri
Peniaga mikro terjejas semasa pandemik COVID-19 melanda negara - NSTP/Rohanis Shukri

Jawatankuasa khas kumpul data ekonomi tidak formal

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengumpul data dalam sektor ekonomi tidak formal bagi membantu golongan Bumiputera yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata Bumiputera antara golongan terbesar dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro, mewakili 41 peratus daripada hampir sejuta PKS mikro.

Katanya, daripada jumlah itu, 82 peratus terbabit dalam perusahaan mikro dengan sebahagian besar masih tertumpu kepada model perniagaan tradisional.

Beliau berkata, kumpulan itu sangat terjejas apabila pandemik COVID-19 melanda negara, sekali gus mengganggu ekonomi serta pendapatan mereka.

"Apa yang membimbangkan adalah masih terdapat ramai golongan Bumiputera terbabit dalam sektor ekonomi tidak formal, yang bermaksud mereka tidak mendaftarkan perniagaan.

"Ia bukan satu perkara baru kerana sejak sekian lama terdapat perniagaan sektor ini. Ada yang kecil dan berjaya, namun tidak pernah berdaftar.

"Apabila terjadi krisis kesihatan ekonomi ketika ini, ia menjadi kejutan kepada semua. Episod ini adalah pengajaran penting untuk kita semua. Kepentingan supaya aktiviti perniagaan perlu didaftarkan secara rasmi," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Noor Azlan berkata, peratusan Bumiputera dalam sektor ekonomi tidak formal itu diunjurkan tinggi, malah difahamkan ramai pekerja dalam sektor terbabit tiada perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Jika perniagaan tidak berdaftar sememangnya boleh mengelak dikenakan cukai dan sebagainya, namun apabila berlaku krisis seperti ini (COVID-19), sukar untuk kerajaan memberikan bantuan kerana tiada data," katanya.

Sementara itu, Noor Azlan berkata, kerangka memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera perlu dipertingkatkan seiring dengan situasi semasa disebabkan pandemik COVID-19.

Katanya, semua pihak yang terbabit dengan pembangunan ekonomi Bumiputera seharusnya lebih serius dan bertindak pantas, terutama sekarang ini apabila banyak perniagaan Bumiputera berdepan impak negatif.

"Saya menggesa semua pihak yang terbabit supaya mempercepatkan langkah pembangunan, gunakan data yang ada dalam menentukan strategi dan peranan yang perlu.

"Isu Bumiputera perlu diambil serius. Kita perlu tahu di mana kedudukan serta keupayaan dalam landskap ekonomi baharu.

"MTE juga sudah membincangkan satu kertas kerangka strategik menangani impak COVID-19 ke atas Bumiputera, selain penubuhan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB)," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, sebelum ini mengumumkan kerajaan akan mewujudkan MKB, yang bakal dijadikan platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

MKB adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu serta mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X