Jumaat, 9 Oktober 2020 | 4:08pm
Gambar fail. Peniaga di Pasar Payang, Kuala Terengganu. - Foto: NSTP/Ghazali Kori
Gambar fail. Peniaga di Pasar Payang, Kuala Terengganu. - Foto: NSTP/Ghazali Kori

Masih belum terlambat mohon bantuan bayaran balik pinjaman bank

KUALA LUMPUR: Peluang untuk mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman sentiasa terbuka kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang terkesan impak negatif penularan COVID-19, demikian jaminan peserta industri perbankan.

Ia merangkumi semua termasuk individu dan perniagaan yang terjejas susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersasar berikutan peningkatan kes penularan COVID-19 ketika ini.

Mereka yang berdepan masalah pembayaran balik pinjaman perlu segera menghubungi bank masing-masing bagi membolehkan mereka mendapat bantuan kewangan yang bersesuaian dengan keadaan yang dihadapi mereka.

Malah, bank memberi jaminan proses kelulusan adalah pantas sekiranya maklumat yang diberikan adalah mencukupi untuk bank menilai bantuan yang bersesuaian.

Wakil Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Mohd Zaini Aris, berkata bank sentiasa terbuka untuk menerima permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman peminjam yang berdepan masalah kewangan berikutan impak penularan COVID-19, yang mana kini jumlah jangkitan meningkat semula di beberapa kawasan yang mendorong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPD Bersasar).

Beliau berkata, mereka yang terjejas tidak perlu risau, apa yang perlu dilakukan adalah segera menghubungi bank masing-masing untuk menjelaskan kedudukan yang dihadapi mereka dan memberikan maklumat yang mencukupi untuk memudahkan bank memproses dan meluluskan permohonan mereka dengan segera.

Katanya, bantuan kewangan yang diberikan adalah mengikut keperluan individu dan PKS yang terjejas.

"Masih belum terlambat untuk mereka yang berdepan masalah pembayaran balik pinjaman untuk mendapatkan bantuan pembayaran balik pinjaman.

"Apa yang perlu dilakukan adalah menghubungi bank supaya bank tahu kedudukan kewangan peminjam dan memberikan bantuan kewangan yang sesuai dengan keperluan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada webinar 'Bantuan Bayaran Balik Pinjaman untuk PKS: Masih Belum Terlambat' yang dihoskan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Sementara itu, wakil Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Mujibburrahman Abd Rashid, berkata terdapat beberapa pakej bantuan pembayaran balik pinjaman yang disediakan bank untuk peminjam yang terjejas.

Beliau berkata, antara bantuan itu ialah lanjutan moratorium tiga bulan; penstrukturan semula untuk mengurangkan bayaran ansuran bulanan sesuai dengan pengurangan pendapatan peminjam; hanya membayar bahagian faedah saja selama 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman bagi sewa beli.

Berita Harian X