Jumaat, 2 Oktober 2020 | 11:16am
Setiap individu seharusnya perlu melakukan penyelarasan semula perbelanjaan pada permulaan tempoh moratorium - Foto hiasan
Setiap individu seharusnya perlu melakukan penyelarasan semula perbelanjaan pada permulaan tempoh moratorium - Foto hiasan

Peminjam perlu baiki kedudukan kewangan pasca moratorium

KUALA LUMPUR: Peminjam perlu bertanggungjawab memperbaiki kedudukan kewangan masing-masing supaya dapat memenuhi obligasi kewangan selepas tempoh moratorium tamat, kata Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK).

Pengurus Besar Bahagian Operasi Agensi Kaunseling & Pengurusannya, Nor Fazleen Zakaria, berkata peminjam juga perlu mengenalpasti langkah sewajarnya yang perlu diambil termasuk mendapatkan khidmat nasihat lanjut daripada AKPK.

"Saya percaya peminjam yang memerlukan bantuan selanjutnya sudah atau sedang berurusan dengan penyedia kredit masing-masing untuk membincangkan syarat pembayaran mereka. Perkara ini sudah banyak dipromosikan dalam pelbagai platform media oleh Bank Negara Malaysia (BNM), institusi perbankan dan AKPK.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat lanjutan dan bantuan daripada AKPK untuk penyelesaian yang menyeluruh serta pinjaman yang membabitkan berbilang bank.

"Kami di AKPK akan meneliti jumlah hutang, komitmen kewangan lain serta kos sara hidup untuk mengusahakan pembayaran balik yang berpatutan mengikut kemampuan aliran tunai individu," katanya.

Sementara itu, Penasihat Kewangan yang juga Pengarah Urusan Wealth Vantage, Rafiq Hidayat Mohd Ramli, berkata setiap individu seharusnya perlu melakukan penyelarasan semula perbelanjaan pada permulaan tempoh moratorium, bukan semasa moratorium hampir tamat.

Katanya, sekiranya penyelarasan itu telah dilaksanakan pada awal moratorium, kemungkinan besar individu berkenaan sudah mempunyai simpanan sebanyak enam bulan daripada jumlah bayaran balik pinjaman bank yang boleh digunakan untuk membantu mengurangkan impak daripada pendapatan boleh guna yang mengecil.

"Bagaimanapun, setiap individu hendaklah mengkaji semula perbelanjaan mereka dan mengurangkan perbelanjaan berkaitan kehendak seperti rokok, hiburan dan sebagainya untuk memastikan kelangsungan kehidupan mereka tidak terjejas," katanya.

Perancang Kewangan Berlesen di VKA Wealth Planners, Kevin Neoh Kean Ming, pula berkata peminjam seharusnya meneliti keadaan kewangan sebelum moratorium berakhir dan bukannya memikirkannya selepas tempoh penangguhan itu tamat.

Katanya, secara umumnya, peminjam perlu melihat keadaan aliran tunai bulanan bagi mengetahui sama ada mereka berada dalam 'zon selamat' untuk membayar balik jumlah terkumpul tempoh moratorium pinjaman atau sebaliknya.

"Pada dasarnya, peminjam boleh melaksanakan tiga langkah ini. Pertama, hitung jumlah pendapatan. Kedua, hitung perbelanjaan perlu bukannya kehendak atau komitmen pinjaman.

"Ketiga, ambil jumlah pendapatan tolak perbelanjaan. Jika anda memiliki lebihan, maka anda berada dalam zon selamat, namun jika perbezaan kecil atau negatif, ia bermakna anda perlu mengurangkan perbelanjaan, meningkatkan pendapatan atau memohon lanjutan moratorium bersasar dari bank," katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, turut senada apabila berkata peminjam perlu meneliti semula perbelanjaan bulanan termasuk komitmen hutang daripada manfaat moratorium sebelum ini bagi mengelakkan sebarang masalah aliran tunai apabila penangguhan bayaran balik berakhir semalam.

Beliau berkata, jika penelitian status kewangan pasca moratorium adalah defisit, mereka harus memastikan bahawa perbelanjaan dikurangkan supaya tidak melebihi pendapatan.

Katanya, apabila tempoh moratorium berakhir, ia bakal memberi impak kepada perbelanjaan boleh guna rakyat sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi dan perniagaan susulan berkurangnya transaksi perniagaan.

"Kita mengharapkan perkara ini tidak berterusan kerana ia akan merencatkan pertumbuhan ekonomi dan bakal memberi impak negatif dari sudut sosial terutamanya apabila ramai yang kehilangan punca pendapatan, diselubungi dengan hutang dan mengalami kesukaran menampung kos sara hidup seharian," katanya.

Berita Harian X