Khamis, 24 September 2020 | 12:05pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Mentek (dua kanan); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Arthur Joseph Kurup (dua kiri) dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh (kiri) pada Seminar Pemantapan dan Pengukuhan Koperasi Negeri Sabah dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baru di Hotel Hilton Kota Kinabalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Mentek (dua kanan); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Arthur Joseph Kurup (dua kiri) dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh (kiri) pada Seminar Pemantapan dan Pengukuhan Koperasi Negeri Sabah dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baru di Hotel Hilton Kota Kinabalu.

MEDAC cadang tubuh universiti koperasi

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bercadang untuk melakukan transformasi dengan mewujudkan universiti koperasi sebagai inisiatif melahir generasi graduan celik keusahawanan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ilmu dipelajari di universiti koperasi dicadangkan itu dapat mendidik bakal graduan tentang perniagaan koperasi dan keusahawanan dari aspek teori dan praktikal.

"Di universiti lazimnya hanya menekankan tentang aspek pengurusan sumber manusia, tapi tidak memberikan pendedahan awal tentang cabaran pengurusan perniagaan.

"Oleh demikian, bagi membolehkan cadangan ini tercapai kementerian akan menjalinkan kerjasama dengan agensi dan badan korporat bagi membolehkan perancangan ini dijalankan dengan jayanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Seminar Pemantapan Koperasi dan Program Pelancaran Kempen Norma Baharu Peringkat Sabah anjuran Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM) dan Gerakan Koperasi, di sini, semalam.

Seminar pemantapan yang dihadiri 150 peserta terdiri daripda anggota lembaga koperasi; pengurusan dan anggota koperasi daripada Sabah itu diadakan bagi membantu Gerakan Koperasi khususnya untuk memantap dan mengukuhkan pembabitan mereka salam sektor ekonomi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Mentek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh.

Wan Junaidi berkata MEDAC juga memulakan kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk program keusahawanan belia dalam kalangan pelajar, graduan dan belia.

"Antara inisiatif dirancang adalah dengan menawarkan pembiayaan disediakan melalui agensi MEDAC seperti TEKUN Nasional." katanya.

Selain itu, kata Wan Junaidi, kaji selidik dijalankan Medac mendapati sehingga Ogos lalu sebanyak 16.67 peratus koperasi terpaksa menghentikan operasi perniagaan berikutan tidak mampu bertahan dalam pasaran ekonomi sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kaji selidik itu turut mendapati tahap kesediaan usahawan mikro dan koperasi mengadaptasi teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan menjadi punca kepada perniagaan gagal diteruskan dalam kalangan usahawan tempatan.

Wan Junaidi berkata, pengukuran kejayaan model perniagaan koperasi perlu diperincikan secara holistik memandangkan ia menjadi pemacu kepada pembangunan sosio- ekonomi inklusif dan bertindak membantu menangani kos sara hidup masyarakat.

Katanya, Gerakan Koperasi perlu berani mengambil peluang dengan menggunakan platform e-dagang secara meluas bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu pacsa pandemik COVID-19.

"Sehubungan itu, bagi mengukuhkan prestasi dan produktiviti sektor koperasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), sumbangan perolehan disasarkan koperasi adalah sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.

"Sektor koperasi perlu mendokong usaha kerajaan dalam menjadi pengerak utama bagi membantu melonjakkan tahap keusahawanan B40 sekali gus membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat bandar dan luar bandar.

"Pelaksanaan awal rejuvenasi dalam koperasi juga penting bagi

memastikan belia mempunyai minat meneruskan legasi koperasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata sehingga 31 Disember lalu Gerakan Koperasi di Sabah mempunyai bilangan koperasi berjumlah 1,599 dengan keanggotaan 276,524.

Katanya, daripada itu sebanyak RM206.97 juta syer dicatatkan dengan jumlah aset RM903.31 juta dan perolehan RM372.46 juta bagi negeri itu.

"Peningkatan jumlah berjaya membuktikan keterbukaan masyarakat di sini semakin mapan, berdaya saing dan mampu memartabatkan gerakan koperasi dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat.

"Gerakan Koperasi di Sabah mempunyai kapasiti mencukupi dalam mencari peluang menguasai pasaran perniagaan terutamanya dalam bidang pelancongan.

Sementara itu, wakil Koperasi SMK Tansau Penampang, Sabah,

Zaraiton Yusof berkata program seperti memberi manfaat kepada anggota koperasi meningkatkan kemampuan dan memantapkan perniagaan diusahakan koperasi.

"Pelaksanaan inisiatif baharu ini dapat menggerakkan semula aktiviti perniagaan PKS dan Mikro untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi negara.

"Program seperti ini juga dapat memberi pendedahan maklumat bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan dalam tempoh segera, memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mapan," katanya.

Berita Harian X