Selasa, 22 September 2020 | 12:33pm
Gambar hiasan. - Foto: NSTP/ROSLIN MAT TAHIR
Gambar hiasan. - Foto: NSTP/ROSLIN MAT TAHIR

Kediaman, apartmen servis tidak terjual meningkat 11.56 peratus

PUTRAJAYA: Jumlah keseluruhan unit kediaman dan apartmen servis yang siap dibina tidak terjual meningkat 11.56 peratus kepada 53,344 unit bernilai RM38.67 bilion pada separuh pertama tahun ini (H1 2020), berbanding 47,806 unit bernilai RM33.86 bilion pada separuh kedua tahun lalu (H2 2019).

Daripada jumlah itu, unit siap dibina tidak terjual dalam kategori kediaman seperti rumah teres, kondominium dan pangsapuri, meningkat kepada 31,661 bernilai RM20.03 bilion dalam tempoh dikaji, berbanding 30,664 unit (RM18.82 bilion) pada separuh kedua 2019.

Sementara itu, apartmen berservis siap dibina tidak terjual, yang mana berada dalam kategori hartanah komersial pula mencatatkan kenaikan kepada 21,683 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM18.64 bilion, berbanding 17,142 unit bernilai RM15.04 bilion pada H2 2019.

Sehubungan itu Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, menyarankan kepada pemaju dan pihak berkuasa supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada data kediaman tidak terjual ini.

Katanya, ia adalah penting dalam membuat penentuan projek yang bakal dibangunkan dan memastikan harga jualan rumah yang munasabah bagi kawasan berkenaan.

"Ini adalah untuk memastikan penawaran perumahan adalah selari dengan permintaan dan isu ketidakpadanan dapat diminimakan," katanya pada majlis taklimat Pasaran Harta Tanah Separuh Pertama 2020 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Othman Semail.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, A'zmi Abdul Latif.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) itu, prestasi pasaran hartanah mencatatkan penurunan mendadak pada H1 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor hartanah mencatatkan 115,476 transaksi bernilai RM46.94 bilion pada H1 2020, menurun sebanyak 27.9 peratus dalam bilangan dan 31.5 peratus dalam nilai berbanding separuh pertama 2019 yang mencatatkan 160,165 transaksi bernilai RM68.53 bilion.

Sub-sektor kediaman menerajui keseluruhan pasaran harta tanah dengan menyumbang 65.2 peratus, diikuti oleh sub-sektor pertanian dengan syer 20.1 peratus. Pasaran hartanah kediaman merekodkan 75,318 transaksi bernilai RM25.61 bilion pada enam bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak 24.6 peratus dalam bilangan dan 26.1 peratus dalam nilai berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam pasaran primer, bilangan pelancaran baharu pada H1 2020 jauh berkurangan daripada yang dicatatkan dalam tempoh kajian. Sebanyak 13,294 unit dilancarkan, turun 43.6 peratus berbanding 23,591 unit pada separuh pertama 2019.

Berbanding separuh tahun sebelumnya, jumlah pelancaran 31.6 peratus lebih rendah (H2 2019: 19,444 unit).

Prestasi jualan pada tempoh dikaji agak lemah iaitu pada 3.3 peratus, jauh lebih rendah berbanding H1 2019 (30.9 peratus) dan H2 2019 (28.4 peratus).

Pelancaran baharu yang rendah dan prestasi penjualan yang lemah berkemungkinan disebabkan oleh penutupan hampir kesemua aktiviti perdagangan dan ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac 2020.

Kediaman baharu dilancar yang berharga antara RM100,000 dan RM500,000 menguasai pasaran pada H1 2020, yang mana segmen harga RM200,000 hingga RM300,000 mendahului penawaran dengan 4,022 unit.

Sementara itu, jualan tertumpu kepada unit berharga RM400,000 dan ke bawah membentuk 92.0 peratus daripada jumlah jualan. Mengikut jenis, rumah teres mendominasi pelancaran baharu.

Teres satu dan 2-3 tingkat menyumbang 7,389 unit daripada jumlah unit keseluruhan, diikuti oleh unit kondominium atau pangsapuri sebanyak 3,951 unit.

Berita Harian X