Jumaat, 18 September 2020 | 10:56am
Bank Negara Malaysia - Foto fail NSTP
Bank Negara Malaysia - Foto fail NSTP

Malaysia, Jepun meterai aturan swap AS$3 bilion

KUALA LUMPUR: Bank of Japan (BoJ), yang mewakili Menteri Kewangan Jepun dan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menandatangani Pengaturan Swap Dua Hala (BSA) yang kedua.

Kedua-dua bank pusat itu dalam kenyataan bersama berkata, BSA berkenaan membolehkan BoJ dan BNM menjalankan urus niaga swap mata wang tempatan masing-masing (iaitu yen Jepun dan ringgit Malaysia) untuk dolar Amerika Syarikat (AS).

"Pengaturan ini menyediakan sehingga AS$3 bilion untuk kedua-dua negara," katanya.

Kenyataan itu menambah, BSA terbabit mencerminkan kerjasama kewangan dua hala yang berterusan antara Jepun dengan Malaysia yang akan menyumbang ke arah kestabilan pasaran kewangan.

"Kerjasama ini akan terus memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan yang sedang berkembang antara kedua-dua negara," katanya.

Berita Harian X