Jumaat, 11 September 2020 | 5:55pm
Pelancong domestik mengambil peluang daripada cuti sekolah, cuti Hari Kemerdekaan dan Awal Muharram untuk mengunjungi destinasi pelancongan tempatan. - Foto NSTP
Pelancong domestik mengambil peluang daripada cuti sekolah, cuti Hari Kemerdekaan dan Awal Muharram untuk mengunjungi destinasi pelancongan tempatan. - Foto NSTP

Trafik penumpang lapangan terbang meningkat

SEPANG: Operasi lapangan terbang tempatan mencatatkan 1.4 juta pergerakan penumpang pada Ogos manakala pergerakan trafik pesawat turut menyaksikan peningkatan sebanyak 7.0 peratus kepada 24,209 berbanding bulan sebelumnya.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, terdapat peningkatan yang ketara dalam kekerapan penerbangan oleh syarikat penerbangan di semua lapangan terbang di Malaysia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang menyaksikan peningkatan sebanyak 33 peratus.

Lapangan terbang antarabangsa lain seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching menunjukkan gabungan peningkatan sebanyak 75 peratus.

"Ini terutama berikutan 'Reciprocal Green Lane' (RGL) yang baru dilancarkan dengan Singapura yang menyaksikan tiga syarikat penerbangan tempatan dan syarikat penerbangan asing Scoot Airlines dan Jetstar Asia kembali beroperasi untuk laluan ini.

"Pelancong udara domestik turut mengambil peluang daripada cuti sekolah, cuti Hari Kemerdekaan dan Awal Muharram untuk mengunjungi destinasi pelancongan tempatan," menurut MAHB dalam kenyataannya, hari ini.

Pengendali lapangan terbang itu terus menyaksikan peningkatan dalam kekerapan penerbangan dan laluan baharu oleh rakan syarikat penerbangannya untuk operasi komersial dan kargo di Malaysia pada bulan lalu.

Katanya, ini membawa kepada peningkatan yang kukuh dari segi jumlah pergerakan penumpang secara bulanan yang terus melepasi paras satu juta dari Julai dan seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata sektor domestik masih menjadi pemacu utama dalam pemulihan trafik MAHB secara berperingkat dengan 90 peratus daripada jumlah trafik penumpang terdiri daripada pergerakan trafik domestik.

"Kami gembira melihat tanda-tanda orang ramai kembali yakin dalam aspek keselamatan perjalanan udara seperti yang dapat dilihat melalui permintaan yang ditunjukkan daripada peningkatan kekerapan penerbangan. KUL kini mencatatkan 149 kekerapan penerbangan pada setiap minggu," katanya.

Sementara itu, operasi MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG), Turki, terus mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus untuk trafik penumpang dan pergerakan pesawat, masing-masing kepada 1.8 juta dan 13,472.

Tiga syarikat penerbangan asing telah menyambung semula operasi di Sabiha Gokcen baru-baru ini berikutan peningkatan dalam tempahan ke hadapan dan faktor muatan.

"Pobeda, Jazeera dan Nile Air, masing-masing telah beroperasi semula pada setiap hari, tiga dan empat kali kekerapan penerbangan mingguan pada Ogos 2020.

"Dengan peningkatan yang menggalakkan di Sabiha Gokcen, MAHB kini melepasi paras tiga juta daripada dua sebelumnya pada bulan sebelumnya untuk jumlah pergerakan trafik penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbangnya," kata Mohd Shukrie.

-BERNAMA

Berita Harian X