Jumaat, 11 September 2020 | 11:07am
Tabung Haji (TH) berperanan menguruskan ibadah haji rakyat Malaysia sejak 57 tahun lalu - Foto fail NSTP
Tabung Haji (TH) berperanan menguruskan ibadah haji rakyat Malaysia sejak 57 tahun lalu - Foto fail NSTP

RCI TH wajar dibuat secara menyeluruh

KUALA LUMPUR: Sudah hampir 57 tahun Tabung Haji (TH) berperanan menguruskan secara komprehensif dan sistematik untuk rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji dan kisah kejayaan agensi itu bukan sahaja sebagai kebanggaan negara, malah menjadi ikutan negara Islam lain.

Disingkap matlamat penubuhannya, ideanya dilontarkan tokoh cendekiawan, Profesor Diraja Ungku Aziz pada era 1950an yang mana ketika itu beliau adalah Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya (UM).

Seperti yang diceritakan kepada penulis oleh anaknya iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bapanya mendapat idea berkenaan selepas melihat kegigihan petani dan nelayan menabung untuk mengerjakan haji.

Selain menyimpan dalam tabung buluh, celah atap dan sebagainya, orang Melayu juga akan membeli beberapa haiwan ternakan dan haiwan-haiwan ini akan dijual bila tiba masanya untuk menunaikan haji.

Selain itu, jemaah Malaysia juga perlu mendapatkan sendiri khidmat syeikh-syeikh haji, yang mana mereka ini terdiri daripada ulama dan broker atau ejen syarikat tempatan.

Perkhidmatan yang disediakan tidak seragam dan banyak bergantung pada budi bicara mereka kerana ketika ini belum wujud peraturan atau undang-undang yang menjaga kebajikan jemaah haji.

Beliau kemudiannya membuat kajian dan memorandum bersejarah bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal–Bakal Haji" kepada kerajaan Malaysia pada Disember 1959, yang mencadangkan penubuhan sebuah badan yang boleh menyimpan wang serta menguruskan perjalanan bakal haji ke Mekah. Tabung itu akan memberi pembahagian keuntungan bukan pembayaran bunga (riba') kepada penabung.

Cetusan dan kesedaran ini akhirnya direalisasikan pada September 1962, Rang Undang-Undang Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji telah diluluskan Parlimen. Maka lahirlah Tabung Haji yang kita dibanggakan selama ini yang mana ketika mula beroperasi pada 1963, seramai 1,281 bakal haji telah membuka akaun mereka dengan jumlah tabungan sebanyak RM46,610.

Setakat akhir 2019, jumlah pendeposit TH adalah 8.75 juta orang dengan nilai tabungan mencecah hampir RM74 bilion.

Bagaimanapun, pada 2018 terdapat dakwaan mengenai kedudukan kewangan yang ketika itu di bawah Pakatan Harapan (PH), berdepan defisit RM4.1 billion bagi tahun kewangan 2017 dengan jumlah aset RM70.3 bilion, berbanding jumlah liabiliti RM74.4 bilion.

Dapatan siasatan dalaman ketika itu merumuskan dividen atau hibah yang dibayar oleh pendeposit menggunakan simpanan pendeposit itu sendiri. Dakwaan itu adalah hasil siasatan dalaman oleh firma audit, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Sebelum pendedahan ini dilakukan, dua laporan polis sudah dibuat TH, yang pertama berkaitan dana RM22 juta Yayasan Tabung Haji yang digunakan bagi aktiviti mempunyai kecenderungan politik.

Laporan kedua pula berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting mengenai penjualan saham TH pada 2012 dalam PT TH Indo Plantations kepada PT Borneo Pacific, syarikat perladangan di Indonesia.

Dakwaan sebegitu memberi kesan terhadap reputasi dan nama baik TH selaku institusi Islam.

Sejak pengurusan kanan TH dirombak dan Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH diperkenalkan dan beberapa pengurusan kanan agensi berkenaan sedang didakwa susulan tuduhan penyelewengan.

Selepas mula melaksanakan pelan berkenaan semula, kewangan TH tampak lebih tersusun dengan catatan pendapatan pelaburan RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama tahun 2020, disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

Peningkatan pendapatan ini telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada 2019. Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun 2020.

TH hanya membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi 2018 yang sudah diaudit di Parlimen, pada bulan lalu, lewat hampir satu setengah tahun daripada kelazimannya, susulan pelaksanaan pelan pemulihan berkenaan.

Pada Ogos lalu juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai isu yang dikaitkan dengan Tabung Haji.

Beliau menjelaskan perkara itu mengakui suatu badan bebas dan berkuasa harus diwujudkan untuk meneliti serta menilai transaksi TH.

Sehubungan itu, katanya, siri cadangan yang diutarakan pihak berkaitan demi merungkai polemik mengenai TH akan diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.

Umumnya, cadangan penubuhan RCI berkenaan adalah sesuatu yang dikira baik, namun ia harus menyeluruh bukan hanya ditumpukan kepada kes penjualan asetnya sahaja, jika benar-benar hendak membersihkan TH.

Ia juga perlu merangkumi daya saing aktiviti legasi pelaburan yang sudah dibuat dahulunya agar adil dan saksama.

Jika siasatan itu dilakukan terhadap semua transaksi TH sebagaimana yang disebut oleh Dr Zulkifli itu menjadi kenyataan, ada kemungkinan beberapa isu lain akan terdedah dan memerlukan tindakan drastik untuk diperbetulkan.

Justeru, antara isu lain yang wajar diberi perhatian adalah berkaitan pelaburan TH dalam syarikat tertentu yang tidak mendatangkan keuntungan.

Sudah lama benar TH terbabit dalam sektor pelaburan iaitu alokasi aset dalam ekuiti, pendapatan tetap, hartanah dan tunai berlandaskan syariah.

TH menyatakan matlamatnya adalah menjana pulangan mapan dan kompetitif untuk pendeposit daripada keuntungan modal/dividen dengan mengambil kira tahap risiko yang munasabah dan sepadan dengan pasaran semasa.

Adalah diakui TH memperoleh pendapatan yang baik menerusi pelaburan dalam beberapa sektor. Hasil daripada pelaburan ini jugalah yang digunakan oleh TH untuk menanggung kos subsidi haji lebih RM306 juta setahun, dan memberi dividen kepada pendeposit.

Sewajarnyalah, TH menilai semula pegangan saham dalam syarikat yang tidak menguntungkan dari masa ke semasa termasuk dalam syarikat usaha sama yang membabitkan TH dan beberapa gergasi korporat sejak lebih 10 atau 20 tahun lalu.

Ini kerana penyimpan sentiasa menaruh harapan supaya TH dipulihkan dan kekal menjadi kebanggaan negara.

Sehingga 30 Jun lalu, TH terus mendapat sokongan umat Islam Malaysia sehingga jumlah depositnya mencecah RM73.86 bilion.

Berita Harian X