Khamis, 10 September 2020 | 8:54pm
Bank Simpanan Nasional (BSN)
Bank Simpanan Nasional (BSN)

Pelanggan BSN diminta mohon pakej susun semula pembiayaan

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyeru agar pelanggan yang terjejas oleh pandemik COVID-19 untuk menghubungi pihak bank bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian, berikutan tempoh moratorium yang akan tamat pada 30 September ini.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani, berkata pelanggan yang masih belum memberi maklum balas diminta segera memohon Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan.

"Kami menasihatkan agar pelanggan yang berhasrat memohon bantuan untuk menghubungi kami dengan kadar segera kerana proses bagi meneliti setiap permohonan akan mengambil masa".

Cawangan-cawangan BSN terpilih akan dibuka pada 13 dan 20 September dari 10 pagi sehingga 3 petang.

Pelanggan boleh mengunjungi cawangan utama BSN di seluruh negara (kecuali Kedah) serta cawangan–cawangan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi Negeri Kedah pula, pelanggan boleh berkunjung ke cawangan BSN Aman Jaya.

Senarai cawangan BSN yang beroperasi boleh didapati melalui laman sesawang www.mybsn.com.my.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pusat hubungan BSN melalui talian 1-300-88-1900.

-BERNAMA

Berita Harian X