Selasa, 8 September 2020 | 4:39pm
Pelancong Hairi Salim mengibarkan Jalur Gemilang dengan berlatar belakangkan pemandangan matahari terbenam bagi menunjukkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 di Pantai Chenang, Langkawi baru-baru ini. - Foto: BERNAMA (2020)
Pelancong Hairi Salim mengibarkan Jalur Gemilang dengan berlatar belakangkan pemandangan matahari terbenam bagi menunjukkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 di Pantai Chenang, Langkawi baru-baru ini. - Foto: BERNAMA (2020)

Kehadiran pelancong asing susut 68.2 peratus

PUTRAJAYA: Malaysia mencatat kehadiran pelancong antarabangsa seramai 4.252 juta bagi separuh tahun pertama tahun ini, menurun 68.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, sebagai perbandingan, Malaysia menarik seramai 13.3 juta pelancong antarabangsa dari bulan Januari hingga Jun 2019.

Katanya, perbelanjaan pelancong bagi separuh pertama 2020 adalah sebanyak RM12.5 billion, iaitu penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

"Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 5.3 peratus dari RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini.

"Sepuluh pasaran utama ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311)," katanya.

Tambahnya, sektor pelancongan negara telah merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-69.1 peratus), pasaran jarak sederhana (-69.0 peratus) dan pasaran jarak jauh (-58.8 peratus).

"Ketibaan pelawat harian di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,712,140 pelancong dari bulan Januari hingga Jun 2020, iaitu penurunan sebanyak 64.2 peratus berbanding dengan 4,782,587 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh sama pada tahun lalu.

"Penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian ini adalah disebabkan oleh faktor penutupan pintu-pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik COVID-19.

"Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus COVID-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac lalu," katanya.

Agensi pelancongan itu berkata, kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, di mana negara-negara ASEAN lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan.

Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing.

Layari Statistik Tourism Malaysia untuk mendapatkan info lanjut berkenaan statistik pelancongan negara.

Berita Harian X