Khamis, 3 September 2020 | 6:40pm
Pendapatan bank susut dengan ketara pada suku kedua disebabkan oleh kerugian pengubahsuaian yang besar - Foto hiasan
Pendapatan bank susut dengan ketara pada suku kedua disebabkan oleh kerugian pengubahsuaian yang besar - Foto hiasan

Pendapatan bank Malaysia dijangka bertambah baik

KUALA LUMPUR: Pendapatan bank-bank di Malaysia dijangka bertambah baik pada suku ketiga dan keempat tahun ini, namun prestasi keuntungan kekal lemah di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan landskap operasi yang tidak menentu, kata RAM Ratings.

Agensi penarafan itu berkata, pendapatan bank susut dengan ketara pada suku kedua disebabkan oleh kerugian pengubahsuaian yang besar dan peruntukan terlebih dahulu serta penyusutan margin faedah bersih (NIM).

Purata pulangan pracukai bagi aset dan dan pulangan ekuiti lapan bank tempatan terpilih turun masing-masing kepada 0.7 peratus dan 6.8 peratus, dalam tempoh yang sama.

"NIM bank-bank terjejas sebanyak agregat 75 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) pada suku kedua, yang diburukkan lagi oleh caj pengubahsuaian yang muncul daripada faedah bukan akrual (atau keuntungan) berikutan ansuran tertunda pembiayaan Islam dan auto kadar tetap di bawah moratorium enam bulan.

"Walaupun kami menjangkakan sedikit kelonggaran dalam NIM apabila deposit secara progresif dihargakan semula pada kadar rendah, penurunan OPR sebanyak 25 mata asas (0.25 peratus) pada Julai selain jangkaan lebih banyak penurunan akan dilaksanakan, akan mengehadkan kemajuan pemulihan," kata Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM, Wong Yin Ching dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan penerbitan Ringkasan Suku Tahunan Perbankan - Suku Dua 2020.

Selain itu, lanjutan bersasar moratorium pinjaman yang diumumkan baru-baru ini bagi peminjam terpilih juga akan mencetuskan satu lagi kerugian pengubahsuaian, walaupun pada tahap yang lebih kecil, katanya.

Berikutan penangguhan sebahagian besar bayaran pinjaman, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem perbankan mencatatkan paras terendahnya pada 1.43 peratus pada akhir Julai 2020.

RAM Ratings berkata, kualiti aset pendasar sebenar hanya akan menjadi jelas selepas berakhirnya langkah-langkah bantuan pinjaman COVID-19.

"Meskipun nisbah GIL yang masih stabil, bank-bank mengambil langkah proaktif meningkatkan peruntukan mereka berikutan jangkaan peningkatan kegagalan membayar hutang pada tahun depan.

"Purata nisbah kos kredit lapan bank terpilih melonjak kepada 91 mata asas (tahunan) pada suku kedua 2020 dan dijangka kekal meningkat pada separuh kedua 2020," kata agensi penarafan itu.

Pada Julai, industri merekodkan pertumbuhan pinjaman 4.5 peratus, disokong oleh moratorium enam bulan automatik bagi pembayaran pinjaman individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelbagai program pembiayaan kerajaan.

"Selepas susut pada April dan Mei susulan peringkat awal kawalan pergerakan, permohonan pinjaman dan kelulusan melantun semula dengan kukuh dalam tempoh dua bulan seterusnya, dirangsang terutama daripada segmen isi rumah.

"Oleh itu, sukar untuk mengetahui sama ada trend ini akan kekal memandangkan sentimen pengguna dan perniagaan yang masih lemah. Keseluruhannya, kami menjangkakan pengembangan kredit berada pada 3.0 peratus-4.0 peratus pada 2020," kata RAM Ratings.

-BERNAMA

Berita Harian X