Isnin, 10 Ogos 2020 | 6:09pm
Majoriti rakyat Malaysia masih ragu-ragu untuk menaiki pengangkutan awam ketika dunia masih berdepan dengan COVID-19. - Foto hiasan
Majoriti rakyat Malaysia masih ragu-ragu untuk menaiki pengangkutan awam ketika dunia masih berdepan dengan COVID-19. - Foto hiasan

COVID-19: Lebih 90 peratus rakyat masih gusar guna pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia masih ragu-ragu untuk menaiki pengangkutan awam ketika dunia masih berdepan dengan COVID-19 dan lebih gemar memandu kenderaan sendiri sebagai langkah keselamatan.

Tinjauan sebuah hab kandungan automotif berlandaskan teknologi terkini, WapCar mendapati sebilangan besar responden lebih cenderung untuk berbelanja dengan lebih berhemah dan berjimat cermat untuk pembelian sebuah kereta.

Hasil kajian turut menyokong trend jualan kereta serta permintaan kereta terpakai di Malaysia yang menunjukkan peningkatan pada Jun.

Baru-baru ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah jualan pada Jun 2020 meningkat lima peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Pada masa yang sama, Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) melaporkan terdapat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 100 peratus pada Jun bagi jualan kereta terpakai.

MAA menjangkakan jumlah jualan pada Julai juga akan lebih baik, terutamanya bagi kereta dengan harga berpatutan serta jimat minyak.

Pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga akhir tahun turut membantu meningkatkan lagi permintaan.

WapCar berkata, hasil kajian menunjukkan sekitar 57.9 peratus daripada responden mengatakan bahawa mereka tidak akan menaiki pengangkutan awam pada masa ini dan 32.7 peratus tetap akan menggunakan pengangkutan awam walaupun mereka khuatir tentang keselamatan mereka atas risiko jangkitan COVID-19.

"Daripada 318 responden yang menyertai kajian, 55.4 peratus mengatakan mereka akan mempertimbangkan semula rancangan untuk membeli kereta baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Hal ini menunjukkan bahawa, walaupun rakyat Malaysia mementingkan keselamatan, mereka tetap memilih pengangkutan awam untuk lebih berhemah dalam perbelanjaan atau tiada pilihan lain," katanya.

Kajian WapCar turut menyokong laporan MAA yang mengatakan trend jualan kereta lebih cenderung kepada kereta yang berpatutan dan jimat minyak.

"Hampir 47 peratus daripada responden memilih untuk berbelanja kurang dari RM100,000 untuk pembelian kereta seterusnya.

"Sejumlah 83 peratus daripada responden bersetuju bahawa harga dan diskaun adalah faktor penting yang akan mempengaruhi keputusan mereka dalam pembelian kereta sewaktu musim pandemik

ini," katanya.

Data dari WapCar menunjukkan dalam tempoh 9 Mac sehingga 30 Jun 2020, terdapat peningkatan carian bagi model yang praktikal dan harga berpatutan, sebagai antara bukti bahawa orang ramai berhemah dalam perbelanjaan.

"Antara 10 kereta paling dicari di Malaysia, sembilan daripadanya mempunyai harga permulaan di bawah RM100,000. Sembilan model berkenaan adalah Honda City, Nissan Almera, Perodua Bezza, Perodua Axia, Perodua Aruz, Proton X50, Proton X70, Proton Saga dan Toyota Vios," katanya WapCar.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X