Jumaat, 7 Ogos 2020 | 5:32pm
Kempen ‘Shop Malaysia Online’ adalah antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) - Foto fail NSTP
Kempen ‘Shop Malaysia Online’ adalah antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) - Foto fail NSTP

'Shop Malaysia Online' galak rakyat berbelanja dalam talian

CYBERJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan kempen 'Shop Malaysia Online' untuk memacu pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 menerusi usaha mendorong serta menggalakan rakyat berbelanja secara dalam talian.

Kempen bermula 1 Ogos hingga akhir September 2020 itu adalah antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang menyaksikan kerjasama kerajaan dengan sektor swasta.

"Menerusi kempen ini, pengguna akan diberikan kod promosi dan pelbagai baucar diskaun di platform e-dagang supaya mereka meningkatkan perbelanjaan terhadap produk tempatan.

"Baucar yang diberikan membolehkan pengguna menebusnya untuk menikmati potongan harga dan kos penghantaran," menurut MDEC dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM70 juta untuk melaksanakan 'Shop Malaysia Online' dengan MDEC sebagai agensi bertanggungjawab menjayakan inisiatif ini.

Kesemua rakan e-dagang yang mengambil bahagian pula secara kolektif akan memperuntukkan RM70 juta lagi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM140 juta bagi kempen ini, menurutnya.

MDEC berkata, melalui inisiatif ini, kerajaan dan MDEC akan berganding bahu dengan 22 rakan e-dagang mengetengahkan pelbagai tawaran selama dua bulan.

Rakan e-dagang berkenaan ialah Boost, Carousell, ConfirmPlusChop, DeliverEat, Elokal, eRomman, FashionValet, Fave, foodpanda, Grab dan JOCOM.

Selain itu, Kedai Matdespatch, Lazada, Lokein, Maybank, MyGroser, OURSHOP, PG Mall, Shopee, Touch 'n Go eWallet, Youbeli dan Zalora turut menyertai inisiatif ini.

"Pada masa sama, inisiatif ini adalah komitmen kerajaan dalam membantu perniagaan tempatan ketika berdepan situasi ekonomi semasa," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata tingkah laku pengguna berubah dengan pantas sejak penularan wabak COVID-19 apabila berlaku peningkatan transaksi jualan dalam talian.

"Ketika negara bergerak pantas pada fasa pemulihan, antara usaha penting ialah menyokong perniagaan tempatan. Pembabitan pengguna dan perniagaan tempatan sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X