Rabu, 29 Julai 2020 | 8:36pm
Gambar hiasan: Mesin pengeluaran wang automatik (ATM). - Foto: NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar hiasan: Mesin pengeluaran wang automatik (ATM). - Foto: NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Lanjutan moratorium, bantuan bersasar sokong pemulihan - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR: Lanjutan tempoh moratorium dan pendekatan bantuan bersasar yang diumumkan hari ini dilihat sebagai antara langkah untuk menseimbangkan usaha membantu peminjam dan memastikan industri perbankan dapat terus membiayai aktiviti serta menyokong pemulihan ekonomi, kata penganalisis.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata strategi bantuan bersasar adalah pilihan yang ada bagi membantu kelompok terjejas, sekali gus dapat merancakkan sektor ekonomi lain misalnya pinjaman kewangan dan perbankan.

Menurutnya, ini kerana kerajaan tidak lagi mampu menanggung sepenuhnya kesan ekonomi yang dihadapi rakyat secara berterusan.

Malah, katanya, pelaksanaan bantuan bersasar itu juga telah dijangkakan susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang Dewan Rakyat yang memberi gambaran bahawa mekanisme baharu akan diperkenalkan.

"Saya yakin, tindakan kerajaan meneruskan bantuan bersasar dan moratarium khususnya untuk yang hilang pekerjaan, dibuat berdasarkan kesedaran bahawa peratusan mereka yang hilang kerja dan pendapatan semakin bertambah.

"Jika ini tidak diteruskan, ia boleh mewujudkan masalah berangkai khususnya membabitkan rakyat yang hilang pekerjaan dan pendapatan seperti masalah sosial dan keruntuhan sektor perniagaan kecil. Ini juga akan mewujudkan perniagaan tepu atau lambakan akibat ramai yang hilang kerja seperti menjual pisang goreng, burger dan bundle," katanya.

Awal petang ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19 manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Sementara itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dalam kenyataan berkata selain dapat meredakan ketidaktentuan berhubung moratorium pinjaman, langkah itu juga membolehkan individu dan perniagaan membuat persiapan awal membabitkan bank masing-masing bagi menyusun pembayaran semula mengikut kedudukan serta keperluan peminjam.

Presidennya, Tan Sri Datuk Ter Leong Yap, berkata NCCIM juga berasa lega di atas kesediaan semua institusi kewangan untuk kekal komited membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pedagang, penjaja dan golongan bekerja sendiri yang terjejas akibat COVID-19.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam. Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menasihati individu yang tidak menerima lanjutan moratorium namun masih mengalami masalah kewangan, tampil dan berunding dengan pihak bank.

"Mereka perlu berterus terang dan telus dalam mengisytiharkan kedudukan kewangan masing-masing bagi membolehkan pihak bank menyusun program terbaik untuk mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim pula menyifatkan pendekatan bersasar itu dapat mengelak sektor perbankan mengalami kerugian besar dan secara mendadak.

"Indeks Kewangan Bursa Malaysia juga setakat ini sudah susut lebih 10 peratus tahun ke tahun setakat ini. Oleh itu, kami menjangkakan pendekatan terbaharu ini dapat membantu mengurangkan kerugian indeks itu di masa-masa akan datang," katanya.

– Bernama

Berita Harian X