Selasa, 28 Julai 2020 | 1:16pm
Ketua Pegawai ECERDC, Baidzawi Che Mat
Ketua Pegawai ECERDC, Baidzawi Che Mat

ECRL, LPT3 pacu ekonomi ECER

PUTRAJAYA: Dua projek mega iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dijangka memacu pertumbuhan ekonomi lebih pantas dan dapat mewujudkan ekosistem perniagaan lebih holistik di Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat, berkata projek yang menjadi keperluan kritikal di wilayah itu bakal menarik lebih banyak pelaburan di sepanjang jajarannya termasuk ekonomi setempat.

Katanya, dengan wujudnya infrastruktur berkenaan, ia akan menjadi pelengkap kepada kemudahan sedia ada termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang akan dinaiktaraf dan Pelabuhan Kuantan, Pahang.

"Pembangunan projek berkaitan pengangkutan dan logistik menjadi elemen penting untuk memastikan ketersediaan infrastruktur bagi menarik pelabur tempatan dan asing meneroka peluang perniagaan di ECER.

"ECRL yang dijangka siap menjelang akhir 2026 bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan ekonomi ECER. Berdasarkan kajian, ECRL akan menyumbang sekitar 1.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

"Begitu juga dengan LPT3 yang membabitkan laluan dari Kuala Terengganu hingga Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 147 kilometer (km) dan Lebuhraya Central Spine Road (CSR). Ia menjadi komitmen kerajaan untuk mengembangkan capaian ekonomi di seluruh negara," katanya ketika ditemui BH di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Baidzawi berkata, ECERDC yakin untuk mencapai sasaran untuk menarik pelaburan mencecah RM180 bilion menjelang tahun 2025 selaras dengan dua pelan induk yang ditetapkannya.

Katanya, menerusi Pelan Induk ECER, majlis itu akan terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor pembuatan, minyak, gas dan petrokimia, pelancongan, pertanian dan pembangunan modal insan, selain beberapa komponen penting lain seperti peranti perubatan, perkhidmatan serta pelaburan berkaitan revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0).

"Setakat ini ECERDC berjaya menarik pelaburan mencecah RM122.6 bilion sejak 2008 ke ECER, dengan sasaran berikutnya untuk mencapai jumlah keseluruhan RM180 bilion menjelang 2025," katanya.

Bagi tahun ini, beliau berkata, penularan COVID-19 yang mencetuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merencatkan usaha ECERDC menarik pelaburan komited mencecah RM10 bilion yang telah ditetapkan.

Katanya, disebabkan promosi dan misi pelaburan tidak dapat dilaksanakan ECERDC akibat COVID-19, majlis itu menyemak semula angka sasaran kepada RM5 bilion.

"Kami terpaksa membuat semakan semula pelaburan kepada RM5 bilion disebabkan krisis kesihatan yang menular berbanding sasaran pelaburan awal kami adalah RM10 bilion. Setakat Jun lalu, kami sudah menerima pelaburan berjumlah RM2 bilion dan kami optimis untuk mencapai sasaran baki RM3 bilion lagi menjelang hujung tahun ini," katanya.

Menerusi Pelan Induk ECER mulai 2008 hingga 2020, majlis itu menetapkan sasaran meraih pelaburan sebanyak RM110 bilion, namun ia berjaya melepasi sasaran itu pada 2017 apabila mencatatkan kemasukan pelaburan mencecah RM111.6 bilion.

ECERDC kemudiannya mewujudkan Pelan Induk ECER 2.0 bagi tempoh 2018 sehingga 2025 dengan sasaran pelaburan RM70 bilion, mewujudkan 120,000 pekerjaan dan melahirkan 60,000 usahawan.

Bersandarkan asas kukuh yang dibina dalam tempoh 10 tahun lalu, ECER sudah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM122.6 bilion yang akan mewujudkan sebanyak 118,700 peluang pekerjaan dan membangunkan 10,720 usahawan setakat ini.

Berita Harian X